2010-08-19

ORANG NOMBOR 2 KEPIMPINAN UMNO KOTA BELUD BERSUARA



Syabas dan tahniah kepada orang nombor 2 kepimpinan UMNO Kota Belud kerana telah respond dan bersuara tentang rancangan kerajaan membina Empangan Tambatuan
(Berita Harian : 18Ogos –edisi Sabah & Sarawak ; m/s 6 )



Kita bukannya menentang rancangan tersebut dan juga kita bersetuju komen YB ADUN Kadamaian (Daily Express, edisi Melayu ; m/ 3 ) bahawa empangan tersebut bakal menjana sumber ekonomi baru di daerah ini. Bagaimana pula pendirian Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO Kota Belud dalam perkara ini ? Pemuda, Wanita dan Puteri tidak seharusnya terus membisu berhubung dengan isu-isu semasa.

Kita harus ingat dalam PRU 12 yang lepas, BN menang dengan majoriti 3 000 lebih undi sahaja. Jika isu empangan dimainkan oleh parti pembangkang serta disokong oleh mereka yang simpati terhadap derita yang bakal di tanggung oleh penduduk Tambutuon , Gundukut dan Kaiduan , BN bukan sahaja kehilangan 5 000 pengundi malahan mungkin lebih.

Saya mencadangkan supaya isu empangan ini perlu ditangani dengan permuafakatan. Rakyat harus mendapat penjelasan yang lebih dengan cara dialog atau pertemuan hari hati ke hati . Saya yakin Empangan Tambuton ini akan jadi kenyataan jika hati nurani rakyat perkampungan yang terlibat dapat dimenangi .



1 Malaysia , Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan .

‘ BEJOGO ‘ ERATKAN PERPADUAN

SUDUT SETEMU-TEMU, 18 OGOS 2010



' Bejogo' adalah adat dan kepercayaan suku Kaum Sama/Bajau Kota Belud yang masih diamalkan hingga sekarang.'Bejogo' bermaksud berjaga. Acara bejogo ini dibuat selepas kelahiran anak, sewaktu sakit tenat atau meninggal dunia.

Bejogo selepas kelahiran pengisiannya adalah dengan bermain daun terup , sakit tenat dengan membaca yasin dan mati pula dengan membaca al quran, Tujuan bejogo agar bayi, si sakit tenat dan si mati tidak diganggu oleh balan-balan iaitu sejenis mahluk menyerupai syaitan jadian. Menurut cerita balan-balan ini pada asalnya manusia biasa dan apabila dirasuk maka menjadi mahluk luar biasa , tidak kelihatan dengan mata kasar kecuali bunyinya dan air liurnya menitis seperti bintang-bintang. Balan-balan ini akan membunuh bayi atau si sakit untuk dimakan bersama keluarganya. Balan-balan ini juga disebut sebagai 'Selambadut' . Ia terbang ( kepala dan tali perut sahaja )

Bejoga juga dilakukan di kubur si mati . Kubur si mati akan dijaga bagi mencegah balan-balan mengorek semula kubur si mati. Kubur si mati dijaga berdasarkan kedudukan si mati di dalam masyarakatnya. Jika si mati adalah pembesar dan berketurunan Datu , kuburnya akan dijaga 40 hari ( siang dan malam ) . Jika pembesar biasa sahaja kuburnya akan dijaga selama 20 hari manakala orang dewasa biasa selama 10 hari dan kanak-kanak biasa selama 7 hari .

2010-08-17

‘ DUANG ‘ MENGERATKAN SILATURAHIM

SUDUT SETEMU-TEMU , 17 OGOS 2010




Semalam dengan ditemani anak lelaki saya Abdul Hadi , saya berkesempatan menghadiri jemputan kenduri ' bangi ' , doa selamat dan berbuka puasa di rumah Encik Kiong Bin Tawau di Kampung Kesapang. Kenduri ' bangi ' dan doa selamat tersebut dibuat selepas genap 40 hari anakanda beliau iaitu Allahyarham Zairuddin meninggal dunia.

' Bangi ' dalam bahasa Sama/Bajau ialah kenduri arwah dan doa selamat . ' Bangi ' ini dilaksanakan selepas kematian , 7 hari, 40 hari, 100 hari dan 'Temantaun' ( selepas setahun )

Jemputan ditetapkan jam 5.30 petang. Kenduri arwah dan doa selamat , solat Maghrib , solat Isyak , dan solat sunat tarawih dipimpin dan diimamkan oleh Encik Kalbeh Haji Ibrahim.

Tuan rumah telah menyediakan beberapa jenis juadah berbuka puasa seperti minuman panas dan sejuk , kuih-muih , buah-buahan , dan beranika jenis lauk pauk.

Setelah majlis tamat , tuan rumah membekalkan semua jemaah dengan ' duang ' ( berbentuk hamper diisi dengan kuih – muih tradisional, nasi bungkus dan lauk pauk , minuman dan makanan ringan ) . Imam biasanya akan mendapat ' tekok duang ' ( kepala duang ) iaitu 'duang' yang paling besar dan lain daripada yang lain .

Seronok juga sekali sekala mendapat ' duang ' tetapi masalahnya ' duang ' selalunya berat susah untuk dijinjing , terpaksa dipikul atau dijunjung.

' Duang ' adalah bahasa Sama/Bajau masyarakat Kota Belud manakala penduduk Sama/Bajau Tuaran menyebutnya

sebagai ' Sampur " .

2010-08-16

EMPANGAN TAMBATUON - Perlu Ditangani Seperti Menarik Rambut Di Dalam Tepung, Rambut Tak Putus Tepung Tak Berselerak .

SUDUT SETEMU-TEMU, 16 OGOS 2010



Cadangan pembinaan empangan di Sungai Tampasuk berhampiran Kampung Tambatuon dalam kawasan Kadamaian tidak menguntungkan BN dalam PRU ke 13.

Tujuan pembinaan empangan yang bernilai RM 450 juta ( BH , 13 ogos, Edisi Sabah & Sarawak , m/s 3 ) itu adalah semata-mata untuk pengairan Jelapang Padi Kota Belud. Projek mega ini selain tidak dapat menyelesaikan kemelut kemiskinan di daerah Kota Belud , projek ini tidak menguntungkan penduduk sekitar Kampung Tambatuon.

Projek Jelapang Padi Kota Belud terletak di kawasan Tampasuk . Penduduk sekitar Tambatuon pula terpaksa mengorbankan kampung halaman , tanah pusaka, kebun buah-buahan dan harta peninggalan nenek moyang mereka semata-mata kerana Projek Mega Jelapang Padi Kota Belud.

Jika Projek Empangan Kadamaian itu projek jangka panjang kerajaan seperti Empangan Bakun di Sarawak untuk menjana hidroeletrik ( Kota Belud Selalu Putus Tenaga ), logi air bersih , pengairan perindustrian menjelang 2050 mungkin boleh diterima akal.

Daerah Kota Belud perlukan industri yang boleh menjana pendapatan baru kepada penduduk Kota Belud. Sebagai contoh 10 ekar tanah sawah boleh menjana sebuah keluarga dengan kadar RM 10 000.00 semusim ( 4 bulan ) tetapi 10 ekar tanah jika dibangunkan untuk industri boleh menjana pendapatan 1 000 keluarga.

Saya mencadangkan projek Empangan Kadamaian di bina di kawasan Tampasuk kerana Jelapang Padi Kota Belud dan Agropolitan Pintasan 95 % terletak di kawasan Tampasuk.

Isu Empangan Kadamaian sudahpun dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Saya khuatir isu ini akan menjadi lebih parah lagi menjelang PRU ke 13 yang boleh menjejaskan peluang BN mempertahankan kerusi-kerusinya di daerah ini.

Rakyat sejahtera ialah rakyat yang hidup harmoni , aman dan damai tanpa memikirkan keselesaan, keselamatan kampung mereka tergugat . Isu Empangan Kadamaian perlu ditangani ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus , tepung tak berselerak.

2010-08-15

AYAM MENANG KAMPUNG TERGADAI

SUDUT SETEMU-TEMU ,15 OGOS 2010


Saudara / saudari rakan fb yang saya hormati;

Cerita pengkisahan Embo Ali wajar ditutup dan dihentikan memandangkan salasilah Embo Ali tidak dapat dikesan dan diperolehi. Nama beliau tiba-tiba muncul di kalangan penduduk Kampung Pandasan menentang penjajah British . Cerita setelah seabad lamanya kini menjadi seperti lagenda Mahsuri di Pulau Langkawi.

Dibulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa dan memohon keampunan kepada Tuhan dan maaf kepada saudara/saudari kita yang tersinggung atau terkilan berhubung dengan cerita lagenda ini.

Saudara/saudari tentu pernah membaca cerita rakyat yang bertajuk Pak Kadok. Dikisahkan bahawa Pak Kadok yang penuh yakin ingin berlaga ayam dengan ayam raja, telah mengadaikan kampung berserta penduduk dan anak isterinya. Malang nasib Pak Kadok kerana walaupun ayamnya menang tapi kampung tergadai.

Sebagai rakyat Kota Belud yang cintakan daerah ini tentunya kita tidak mahu cerita-cerita seperti ini terus berlanjutan. Cerita-cerita yang memecah belahkan perpaduan masyarkat kita wajar ditinggalkan. Marilah kita bertekad bersatu tenaga , membulatkan fikiran dan menyusun langkah bersama-sama bangsa lain dan pemimpin kita serta rakyat biasa memajukan daerah Kota Belud dengan menyahut seruan transformasi kerajaan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

SUDUT SETEMU-TEMU, 14 OGOS 2010


Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

Petang kelmarin saya mewakili Embo Presiden PSS menghadiri mesyuarat ke dua Jawatankuasa Sambutan Bulan Merdeka peringkat daerah Kota Belud. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah kerana Tuan Pegawai daerah ada komitmen yang lain. Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada para wakil ketua jabatan dan NGO. Tidak ada ketua jabatan yang hadir .

Aktiviti yang dirancang ialah :

1. Majlis tahlil dan doa selamat – 30 Ogos

2. Pengibaran Jalur Gemilang – 25 Ogos

3. Perhimpunan sambutan bulan merdeka – 15 Sept

4. Derma darah – 15 Sept

5. Pertandingan bola sepak tertutup piala PD

6. Pidato Merdeka – tarikh belum ditentukan

Antara aktiviti yang hangat diperbincangkan ialah pengibaran Jalur Gemilang. Pengerusi sedih kerana tahap kesedaran masyarakat Kota Belud sangat rendah terhadap semangat patriotism melalui pengibaran Jalur Gemilang. Permis-permis perniagaan , pejabat-pejabat kerajaan negeri ataupun Persekutuan ( kecuali balai polis dan sekolah-sekolah yang berhampiran dengan pekan ), kereta-kereta , rumah-rumah persendirian jarang-jarang terdapat kibaran Jalur Gemilang.

Adakah tahap patriotisme masyarakat Kota Belud terhadap sambutan hari kemerdekaan negara sudah luntur atau ini dipengaruhi oleh ekonomi semasa ? Ada ahli –ahli mesyuarat menyalahkan pihak penganjur majlis rasmi kerajaan yang tidak berprotokol dan memperlekehkan para jemputan ( ketua jabatan ) . Ada pula ahli mesyuarat yang menyalahkan tahap kerjasama antara jabatan dan kepimpinan.

Saya berpendapat perkara inI disebabkan sistem penyampaian yang kurang berkesan . Pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Maka timbullah rangkaikata perkataan Bangau Oh Bangau .

Alangkah eloknya jika acara kemuncak dibuat di padang secara perbarisan, semua ADUN,MP dan ketua-ketua parti BN pemuda,wanita dan puteri , kontijen kakitangan awam, swasta dan NGO mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu-lagu patriotik dan bukan berhimpun di dalam dewan secara tertutup.

Suka juga kita melihat pemimpin kita melaungkan "MERDEKA" sebanyak 7 kali seperti yang telah dilakukan oleh YTM Tengku Abdul Rahman semasa mengistiharkan kemerdekaan tahun 1957 dahulu.

Pihak penganjur perlu mencari jalan menaikkan semangat masyarakat Kota Belud cintakan negara. Jemput YDP Tan Sri Speaker Dewan Rakyat bersama-sama di padang. Sebagai pejuang yang cintakan daerah tanah tumpah darahnya tentu beliau tidak hampakan kita. Barulah matlamat transformasi kerajaan berjaya dengan semangat 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

2010-08-12

Embo Ali




Saya terbaca di dalam ruangan suratkhabar berbahasa Melayu, Saudara Azrone terkilan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil inisiatif memulihara makam dan kubu Embo Ali di Kampung Pandasan Kota Belud.

Saya setuju dengan pendapat saudara Azrone agar sejarah perjuangan Embo Ali diketengahkan kepada orang ramai. Saya mencadangkan jika sejarah Embo Ali ini mempunyai impak yang tinggi kearah ekonomi berprestasi tinggi agar satu seminar mengisahkan perjuangan Embo Ali ini dibuat dan saya sanggup untuk menjadi pesertarnya . Kita jemput sejarahwan-sejarahwan untuk membentangkan kertas kerja . Saya yakin, selain dari diri saya sendiri masih ramai lagi di luar sana yang masih samar-samar siapa Embo Ali ini sebenarnya ? Siapa ibubapanya ? Dari mana asal usulnya ? Adakah beliau ini anak jati Pandasan atau pendatang asing ? Adakah beliau mempunyai keluarga di Kampung Pandasan ?

Keraguan ini timbul kerana pada suatu masa dahulu ada pemimpin politik dari Papar yang menyatakan bahawa beliau adalah waris Embo Ali. Beliau berjuang untuk menegakkan keadilan untuk Embo Ali .

Sejarah Embo Ali ini telah diekspolitasikan untuk keuntungan politik. Jadi sudah sampai masanya untuk rakyat Kota Belud khususnya dan Malaysia amnya mengetahui siapa Embo Ali ini sebenarnya.

Bazar Ramadhan Kota Belud Meriah.

SUDUT SETEMU-TEMU,12 OGOS 2010



Kelmarin hari pertama berpuasa, saya dan isteri pergi ke Bazar Ramahdan Kota Belud untuk membeli sedikit juadah berbuka puasa. Wah ! Sungguh meriah bagaikan pesta makanan. Para peniaga tempatan menjual lauk pauk, kuih muih, beranika jenis bubur, air batu campur (ABC) dan air buah-buahan. Para belia pendatang pula mendominasi perniagaan satay, sayap ayam bakar, ikan bakar, martabak jawa, dan kuih bulan. Peniaga tempatan dan belia pendatang ini bersaing untuk memikat pembeli.

Saya teringat dengan kenyataan seorang pemimpin PBS Datuk Henrynus Amin, alangkah baiknya jika para belia kita berani menceburi perniagaan yang didominasi oleh belia pendatang ini. Adakah para belia kita tidak tahu menjual satay dan sayap ayam bakar ? Atau mereka ini hanya mampu menjual kelapa muda di tepi jalan sahaja ? Adakah belia kita tiada semangat bersaing atau sudah kalah sebelum berjuang ?

Bagaimana "Gontor" ? Apa program bulan puasa ini ? Sekurang-kurangnya "Gontor" boleh membentuk konvoi mengejutkan penduduk di kampung-kampung dan kawasan perumahan di daerah ini bangun bersahur di awal pagi .

“Lemiang Tompo-Tompo Temban Tahi Ni Loso”

SUDUT SETEMU-TEMU 10 OGOS 2010




Usaha Ahli Parlimen Kota Belud bahawa subsidi baja dan racun mahluk perosak tanaman supaya dikekalkan patut dipuji dan disokong. Para petani yang rata-rata hidup dalam kesempitan tidak mampu membeli baja dan racun mahluk perosak tanaman mereka.

Walau bagaimanapun ada petani yang terdesak sanggup menjual subsidi ini kepada pihak ketiga lantaran mahu wang yang cepat.

Cadangan untuk menubuhkan pusat pembelian hasil pertanian , penternakan dan perikanan perlu diberi perhatian. Masalah petani , penternak dan nelayan ialah cara mereka memasarkan hasil mereka. Saya teringat satu skim tanaman buah markisa yang dipelopori oleh KPD sedikit masa dulu . Petani diberi pinjaman berbentuk bijih benih , baja , racun mahluk perosak , membersihkan tanah dan peralatan keperluan lain sehingga mencecah puluan ribu ringgit. Tapi malangnya sistem pasaran tidak tetap , maka petani kerugian dan menanggung hutang. Akhirnya tanah petani terjual untuk melunaskan hutang. Begitu juga skim ternakan kambing kormisal yang disediakan oleh PPK . Para penternak telah melabur ribuan ringgit membina kandang , kawasan rumput dan baka . Skim ini juga menemui jalan buntu . Perkara ini berlaku kerana kegagalan mewujudkan sistem pemasaran yang teratur.

Satu lagi peristiwa mimpi ngeri penduduk Kota Belud terutamanya penduduk Kampung Taun Gusi . Pada tahun 80 an , sebuah syarikat dari Semenanjung telah melabur menternak udang harimau di kawasan Padang Ragut Pintasan milik penduduk Taun Gusi . Walaupun ditentang oleh rakyat tetapi pelabur itu telah mendapat kelulusan ( geran tanah CL1000 ekar ) dari kerajaan dengan cara yang tidak dipersetujui oleh rakyat . Akhirnya pelabur itu gagal dan penduduk kehilangan tanah seluas 1 000 ekar . Semoga peristiwa ini tidak berulang dengan kewujudan Rancangan Baru Kerajaan Projek Agropolitan Pintasan umpama “Kalang Sama/Bajau : Lemiang tompo-tompo temban tahi ni loso” atau “ ayam terlepas tangan berbau tahi” .

Saya setuju dengan pendapat seorang rakan fb bahawa Jelapang Padi Kota Belud dan Agropolitan Pintasan tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan di daerah ini. Satu kajian terperinci perlu dilakukan berdasarkan maklumbalas petani dan penternak.

BUAT SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT

SELAMAT BERPUASA

TERUTAMA UNTUK

SEMUA RAKAN FB DAN BLOG

SETEMU SERATI DEMBUA KITI

2010-08-08

Isteri Wakil Rakyat Sibuk ?

SUDUT SETEMU-TEMU 08 OGOS 2010




Isteri Wakil Rakyat ( WR ) diseru sentiasa mendampingi rakyat dalam memahami masalah dan kehendak rakyat . Saranan ini sebenarnya telah dibuat oleh Yang Berbahagia isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Di Pertua Bakisa Sabah. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh semua isteri-isteri WR khususnya di Kota Belud.
Seruan ini bertepatan dengan fenomena semasa di mana ada isteri WR tidak pernah bersama suami sewaktu WR tersebut melawat kawasan pilihanrayanya. Ramai rakyat yang bertanya, adakah WR ini sudah beristeri atau tidak ? Kalau sudah beristeri di mana isterinya ? Berapa orang anaknya ? Maklumlah ada WR yang tidak bermastautin di kawasannya dan rakyat juga tidak tahu di mana rumahnya.
Saya cadangkan WR seperti ini kalau belum beristeri seharusnya berkahwin supaya ada pembantu atau kalau sudah beristeri tetapi isterinya sangat sibuk dengan tugas-tugas lain sehingga tidak berkesempatan bersama suami menemui rakyat , maka “merelakan” suami berkahwin lain agar isteri baru ini dapat bersama dan membantu WR . Ini secara tidak langsung memenuhi seruan Yang Di Pertua Bakisa. Ramai gadis, ramai janda Kota Belud jadi pilihan.

‘ Migang’

SUDUT SETEMU-TEMU 08 OGOS 2010



Semalam, saya menghadiri majlis kenduri ‘migang’ dan doa selamat di rumah adik saya Abdul Gaus di Kampung Keguraan. Adalah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat Islam di Kota Belud mengadakan majlis doa selamat tanda kesyukuran sempena menyambut bulan Ramahdan. Majlis ini dikenali dengan ‘migang’( Sama/Bajau) bererti berniat,bertekad akan menunaikan ibadat puasa selama sebulan dalam bulan Ramahdan kerana Allah.
Sempena dengan majlis tersebut, adik saya Abdul Gaus juga menyatakan agar para jemaah sama-sama memohon doa kepada anaknya Hadi Nazreen yang akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Tanta, Mesir dalam bidang perubatan. Tahniah kepada beliau kerana telah berjaya mendidik anak-anaknya sehingga ke menara gading.
Saya teringat seorang hamba Allah yang telah berjuang mendidik puteranya hingga ke menara gading dan kini anak itu menjadi orang terpenting di dalam hairaki kepimpinan negara.
Sinopsis cerita bermula dengan kelahiran putera disebuah perkampungan nelayan di utara daerah Kota Belud. Dalam serba kekurangan (sekolah berlantaikan tanah, tiada eletrik, tiada air paip ) tidak menjadi penghalang untuk putera ini terus menimbah ilmu. Setelah tamat sekolah rendah, putera ini belajar di sebuah sekolah menengah di ibukota. Atas kesedaran betapa pentingnya insan berilmu, hamba Allah ini menghantar puteranya tadi belajar di negera Mat Salleh dalam bidang perundangan. Hamba Allah ini sanggup mengadaikan tanah termasuk rumah tempatnya berlindung semata-mata untuk mendapatkan wang perbelanjaan putera harapan yang tersayang di rantau orang.
Alhamdullilah putera harapan telah berjaya memenuhi impian ayahnya, impian bangsa. Beliau telah menjadi bintang yang sentiasa bersinar menjadi sebutan dan inspirasi masyarakat Kota Belud khususnya dan Malaysia amnya. Semoga Allah mencucuri rahmat dan hidayahNya ke atas arawah hamba Allah ini. Kami, anak bangsa Kota Belud sentiasa berdoa agar putera ini sentiasa sihat sejahtera bersama keluarga tersayang dan terus bersinar menerangi bumi Malaysia ini. Amin.

Bersuara Bukan Bererti Menentang

SUDUT SETEMU-TEMU ,07 OGOS 2010




Baru-baru ini saya terbaca di dalam sebuah suratkhabar berbahasa Melayu, seorang pemimpin melahirkan rasa kecewa, sedih dan malu kerana ada penulis-penulis fb dan blog menaburkan fitnah yang tidak sahih sehingga memesongkan fikiran rakyat terutamanya belia.
Mungkin ada kebenarannya cakap pemimpin tersebut. Tapi, awal-awal lagi saya telah menyatakan ‘ sistem penyampaian ‘ terutamanya di Kota Belud perlu diurus dengan berkesan. Jika sistem penyampaian tersangkut maka fahaman rakyat terhadap rancangan kerajaan juga tersangkut.
Agen-agen yang dilantik atau dipilih oleh rakyat, pemimpin atau kerajaan haruslah mereka yang amanah, bertanggungjawab, berintegriti dan berkebolehan. Pilihan atau lantikan berdasarkan kroni, nipotisme, rakan karib atau kerana ‘termakan budi’ menyebabkan sistem akan pincang. Jesteru itu, segala hasrat dan cita-cita kerajaan akan terbantut dan sia-sia.
Rakyat yang ingin tahu atau menegur bukan bererti mereka menentang pembangunan, tetapi inginkan penjelasan. Adalah kurang bijak pemimpin mencop rakyat yang bersuara menghina atau memalukan pemimpin. Sebagai contoh rakyat ingin tahu Projek Empangan Kedamaian, Jelapang Padi, Agropolitan Pintasan, Jalanraya KK-Kudat Bypass, Jalan Sangkir, Taburan dan Tambulion, Saluran Air Paip Rampaian Laut, Eletrik yang sering ‘blackout’ dan keperluan-keperluan asas rakyat yang seumpamanya. Mengapa ditentang ? Rakyat cuma ingin tahu. Pemimpin harus perjelaskan. Apa salahnya ? Rakyat gunakan pertemuan biasa, tetapi tidak berkesempatan terutama “pemimpin terlalu sibuk” . Gunakan telefon atau SMS , pemimpin tidak repon. Ditulis dalam fb atau blog pemimpin juga tidak respon tetapi direspon semasa majlis bersama rakyat. Dalam majlis berkenaan pula hanya pemimpin yang bercakap, mohon tepuk tangan, selepas itu jamuan dan pemimpin beredar atau balik. Komunikasi sehala ini membuatkan pemimpin syok sendiri dan sememangnya kurang berkesan. Kalau perlu adakan dialog, seminar, persidangan meja bulat atau edaran risalah agar rakyat faham akan setiap projek kerajaan. Pengamalan slogan amanah, bersih, dan cekap perlu diteruskan didalam menjayakan matlamat slogan 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.
Jangan wujudkan jurang antara pemimpin dan rakyat. Jika ada majlis jamuan, biar pemimpin memakan makanan yang sama seperti rakyat makan. Jangan asingkan pemimpin duduk di meja khas sementara rakyat duduk dibangku. Jika tangkap ikan bersama, jangan pemimpin mengambil kepala dan rakyat diberi ekor. Biar sama-sama rasa seperti pepatah berat sama dipikul, ringgan sama dijinjing ; ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni ; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah.

Yayasan Kota Belud ( YKB ) Harapan Baru Bagi Mereka Kurang Kemampuan


SUDUT SETEMU-TEMU 06 OGOS 2010

Tahniah dan syabas kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Salleh Tun Said kerana mengaktifkan semula YKB. Masyarakat Kota Belud yang kebanyakkannya dibelenggu kemiskinan sangat mengharapkan peranan YKB untuk meringgankan beban mereka. YKB yang memfokaskan pembangunan pendidikan , kesihatan dan ekonomi adalah diharapkan dapat memainkan peranannya membantu dalam usaha kerajaan melaksanakan sistem penyampaian sebagai faktor penting dalam menjayakan transformasi kerajaan.
Usaha YKB untuk menjanamakan semula yayasan ini sebagai Yayasan Kemajuan Bumiputera ( YKB ) sangat dialu-alukan. Ini adalah selaras dengan slogan 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’. Program - program pendidikan ( modal insan ), kesihatan ( gaya hidup sihat ) dan ekonomi perlu diberi keutamaan agar yayasan ini benar-benar dapat memenuhi aspirasi rakyat Kota Belud khususnya Malaysia amnya.

2010-08-04

Kota Belud By Pass Menjana Sumber Ekonomi Baru

SUDUT SETEMU-TEMU ,05 OGOS 2010




Kota Belud By Pass adalah jalanraya yang merentasi Kampung Lebak Moyo, Sembirai , Sinorob, Wakap, Labuan, Jawi-Jawi Selesa dan Kesapang sepanjang lebih kurang sepuluh kilometer memendekkan perjalanan Kota Kinabalu-Kudat . Jalanraya ini juga menjana ekonomi baru bagi kampung-kampung tersebut. Nilai tanah yang berhampiran dengan jalanraya itu juga telah meningkat. Pengusaha-pengusaha gerai makanan dan hasil pertaniaan tumbuh seperti cendawan. Mini market Sinorob, bengkel memotong cermin dan perabot, car wash, perkhidmatan dobi, bengkel membaiki kereta sedang beroperasi. Terbaru, SIU Motel 2 dan kilang menjual papan akan beroperasi dalam sedikit masa lagi. Pembinaan rumah-rumah persendirian dan tapak-tapak perusahaan sedang giat dijalankan .
Tidak dapat dinafikan bahawa jalan Kota Belud By Pass membawa banyak menafaat kepada kampung-kampung yang dilaluinya selain daripada mengurangkan kesesakan lalulintas di pecan Kota Belud. Walau bagaimanapun tidak dinafikan setiap pembangunan ada juga kesan sampingannya. Namun begitu, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak bermuafakat dan berbincang dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

2010-08-03

Jelapang Padi Dan Agropolitan Pintasan Untuk Siapa ?

SUDUT SETEMU-TEMU 03 OGOS 2010



Tahniah daerah Tawau kerana telah Berjaya membasmikan miskin tegar, Masyarakat Tawau tentu berasa lega dan bangga atas kejayaan ini. Pemohon eKASIH tentu tiada lagi. Para Guru Besar dan Pengetua sekoalh tidak lagi dibebani dengan memproses borang-borang permohonan KWAPM. Permohonan rakyat untuk mendapat PPRT tentu berkurangan. Masyarakat Tawau hanya menumpu kepada mencapai ekonomi berprestasi tinggi.
Bagaimana dengan daerah Kota Belud ? Bila agaknya daerah bersejarah ini mencapai zero miskin tegar ? Adakah program mega “Jelapang Padi” dapat membasmi miskin tegar ? Adakah rancangan Agropolitan Pintasan dapat menangani miskin tegar ini ? Saya dengar rancangan Agropolitan Pintasan seluas lebih kurang 700 ekar akan diusahakan oleh 500 keluarga. Disediakan 500 buah rumah dan dibekalkan 1000 ekor lembu tenusu. Disamping kemudahan –kemudahan insfratruktur seperti sekolah, balai polis, klinik, kemudahan memproses susu lembu, peneroka juga diberi gaji/elaun RM 1000.00 sebulan.
Rancangan Agropolitan ini ( Kalau Betul ) memang sedap didengar. Tapi anehnya “1000 ekor lembu dijaga 500 buah keluarga”. Ini yang aneh. Bayangkan sebuah keluarga suami, isteri, kalau ada anak dua atau tiga orang, bererti setiap keluaraga ada 5 orang . Jadi 1000 ekor lembu dijaga oleh 2500 orang. Di manakah logiknya ?
Saya fikir pembangunan di Kota Belud perlu dipacu dengan kekuatan keintelektualan. Pihak yang berwajib tidak boleh mengambil kesempatan asal ada rancangan. Wang rakyat perlu dibelanja dengan berhemah. 700 ekar untuk 1000 ekor lembu 2500 orang penjaga, logik kah ?
Saya juga setuju dengan pendapat AC Fian-Fian bahawa para petani Kota Belud dieksplotasi oleh orang tengah. Orang tengah telah menjadikan mereka ‘mangsa’. Tentulah kalau difikirkan ini keterlaluan. Tapi, bayangkan petani ini tidak lagi berkuasa terhadap hasil padi mereka kerana sejak mula bekerja lagi mereka telah dibebani dengan hutang. Hasil tuaian padi pula tidak dapat melunaskan hutang. Perkara ini berpanjangan bertahun-tahun.
Di manakah keadilan untuk petani- petani ini ? Mengapa pihak yang berwajib menutup mata dan memekakkan telinga ? Bagaimana Transformasi Kerajaan di Kota Belud ? Slogan 1 Malaysia “ Rakyat Didahulikan Pencapaian Diutamakan”. Tentulah kesannya dalam PRU 13.

Tampilkan Tokoh Hebat Dan Berwibawa.

SUDUT SETEMU-TEMU 02 OGOS 2010



Kota Belud 100 kilometer dari ibukota Kota Kinabalu merupakan pekan sejarah yang dikenali dengan jolokan Cowboy Town of The East . Pekan ini terkenal dengan kuda Bajau, pembuat parang dan pengeluaran hasil padi. Malangnya ketiga-tiga industri ini diusahakan oleh mereka yang telah lanjut usia dan tidak mempunyai kerja pilihan.
Sebagai contoh pengusaha padi. Walaupun Kota Belud terkenal sebagai daerah Jelapang Padi, namun mereka yang menceburkan diri dalam industri ini adalah golongan yang telah berusia, Orang muda tidak tertarik dengan industri ini kerana bagi mereka industri ini tidak menguntungkan dan tidak menjamin masa depan yang lebih cerah. Begitu juga dengan industri pembuatan parang. Industri ini tidak akan menguntungkan jika Kota Belud tidak menjadi destinasi pelancongan. Penternakan kuda ( Pony ) adalah pilihan orang muda yang tidak berpeluang mendapat kerja yang lain. Tujuan mereka memelihara kuda adalah untuk berlumba di Tuaran ( Tuaran mempunyai padang lumba kuda ). Ganjarannya tidaklah seberapa. Kalau kuda menang berlumba, dapatlah sedikit ganjaran, tetapi jika keadaan sebaliknya berlaku mereka pulang dengan tangan kosong.
Dalam era transformasi ini mereka yang berkepentingan ( stakeholder) harus memikirkan masa depan masyarakat Kota Belud. Kota Belud harus mempunyai industri yang boleh menjana daerah ini ke arah daerah yang mempunyai pendapatan tinggi selaras dengan transformasi kerajaan. Industri Pelancongan, Pembuatan, Pendidikan, Sukan dan Kesihatan sangat berpotensi di Kota Belud.
Para pemimpin harus merancang ‘beyond’ atau 30 tahun ke depan. Pemimpin yang berwawasan dan mempunyai kekuatan intelektual perlu ditampilkan untuk memimpin daerah ini ke arah yang lebih maju. Kita mempunyai pemimpin yang hebat dan mempunyai ketokohan dalam kepimpinan. Selain daripada kehebatan tokoh-tokoh kepimpinan yang ada, mereka juga perlu dibantu oleh tokoh-tokoh muda yang berpendidikan tinggi. Jika tokoh-tokoh ini bersinergi dengan tokoh-tokoh muda yang hebat, Kota Belud akan muncul sebagai daerah terbilang di Malaysia.
Saya bukan berkempen atau melobi bagi pihak mereka, tapi sebagai anak Malaysia yang bermastautin di Kota Belud, saya rasa terpanggil supaya kedua-dua tokoh ini diketengahkan demi masa depan Kota Belud khususnya dan Malaysia amnya.

SUDUT SETEMU-TEMU 01 OGOS 2010



Selepas melawat beberapa gerai pamiran di majlis Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Rakyat bertempat di padang Kota Belud pagi kelmarin, saya bertemu dengan seorang rakan fb. Beliau mempelawa kami minum di Restoran Puteri Kasih di bangunan Majlis Daerah Kota Belud.
Untuk tidak menghampakan beliau, kami bersetuju. Semasa minum, rakan tersebut meluahkan pendapat beliau berhubung projek Jelapang Padi Kota Belud.
Rfb : Rakyat Tempasuk beruntung kerana projek Jelapang Padi Kota Belud 90% di kawasan Tempasuk.
Penulis : Ya, tapi setengah mereka tidak gembira kerana pada pendapat mereka tanaman padi adalah tanaman cukup makan sahaja.
Rfb : Ya, kalau kawasan kecil, 2 atau 3 ekar sahaja. Tapi kalau kawasan yang luas saya yakin menguntungkan.
Penulis : Saya setuju. Namun ramai petani Tempasuk tidak mempunyai kawasan yang luas. Kebanyakannya mempunyai tanah 2 atau 3 ekar sahaja. Ada pula yang terpaksa “mengerjakan tanah orang” kerana tidak mempunyai tanah sendiri yang mana hasilnya kelak dibahagi 50 – 50.
Rfb : Bagaimana kalau petani mengubah cara penanaman padi mereka. Jangan bergantung dengan orang tengah.’Radu sendiri, tanam sendiri, tuai sendiri, dan jual sendiri’.
Penulis : Itu cadangan yang baik. Bagaimana ?
Rfb : Hapuskan subsidi.Gantikan dengan setiap petani yang berdaftar diberi jentera pembajak ( Kabota ), mesin pengisar ( jenis kecil berharga lebih kurang RM 2000.00). Mereka tidak lagi bergantung dengan orang tengah. Beras yang hancur dan habuk padi boleh digunakan untuk makanan ternakan.
Penulis : Setujukah kerajaan ? Beras ini barang kawalan.
Rfb : Bukankah 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ . Transformasi bah !!
Saya tersenyum dan membayar minuman. Kami berpisah dengan berjanji akan berjumpa lagi. Saya ulangi kata-kata rakan fb tadi ‘ radu sendiri, tanam sendiri, tuai sendiri dan jual sendiri’ . Saya tersenyum sendiri.

SUDUT SETEMU-TEMU





Semasa menghadiri program kementerian perusahan dan asas tani bersama rakyat di padang Kota Belud pagi tadi, saya bersama anak lelaki saya Abdul Alif, sempat meninjau gerai-gerai agensi kerajaan dan usahawan –usahawan tempatan yang mempamirkan produk-produk mereka. Di majlis ini juga anak saya Abdul Alif mengambil kesempatan untuk mendaftar sebagai pemilih di kaunter UMNO bahagian Kota Belud.
Antara gerai yang kami tinjau ialah Gerai Mardi. Selain daripada mempamirkan produk Mardi, agensi ini juga menjual buku-buku manual. Kami sempat membeli dua buah buku iaitu ‘Teknologi Penternakan Ayam Kampung Pedaging’ dan ‘Teknologi Pengeluaran Kambing Pedaging di Malaysia’.
Buku-buku ini amat baik. Isi kandungannya dilengkapi dengan maklumat untuk membantu pengusaha yang ingin menceburi bidang ternakan ayam kampung pedaging atau pengeluar kambing pedaging.
Walau bagaimanapun buku yang mengandungi 41 halaman dengan cetakan kertas licin dan dihiasi gambar-gambar dijual dengan harga RM 27.50 sebuah. Harga yang telah ditetapkan ini agak mahal bagi orang kampung yang ingin memperolehinya. Saya cadangkan buku-buku seperti ini kalau pun tidak diberi secara percuma, tetapi harganya biarlah dikurangkan ke tahap yang lebih berpatutan agar orang kampung juga dapat memilikinya.

SUDUT SETEMU-TEMU 31 JULAI 2010



Assalamualaikum warahmatulahi wabarakhatu.
Seminggu lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Seperti biasa muslimin dan muslimat akan berpuasa menahan lapar dan dahaga disiang hari, berjemaah solat trawih , beribadat dan bersedekah kepada fakir miskin.
Kadang-kadang bulan Ranadhan ini juga dikenali sebagai bulan bazaar makanan. Usahawan-usahawan makanan bermusim akan tumbuh bagaikan cendawan dengan mendirikan permis-permis sementara, semata-mata untuk tujuan menjual lauk-pauk dan kuih muih sebagai hidangan berbuka puasa. Tidak hairanlah jika di bazaar-bazaar Ramadhan ini terdapat lauk-pauk dan kuih muih yang enak dan lazat serta jarang-jarang disediakan oleh restoran-restoran.
Alangkah baiknya jika usahawan-usahawan makanan bermusim ini dapat meneruskan usaha mereka ini sepanjang tahun.
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.

SUDUT SETEMU-TEMU 30 JULAI 2010



‘ Gontor ‘ adalah satu program yang menghimpunkan belia dan beliawanis dalam satu gerakan kerja-kerja sukarela . Kumpulan ini membantu masyarakat di dalam kerja-kerja sosial seperti gotong royong, bencana alam, dan majlis-majlis yang memerlukan tenaga sukarelawan.
Program ‘ Gontor ’ ini biasanya dilaksanakan oleh belia dan beliawanis yang terlibat di dalam Skuad P 169 di bawah naungan YB Dato’ Ahli Parlimen. Kebiasaannya mereka akan bergerak dalam satu kumpulan. Identiti warna pakaian mereka adalah hitam, bermotorsikal atau kereta yang mempunyai “sound system” yang cukup kuat.
Perkataan ‘ Gontor ‘ dalam bahasa Sama/Bajau bererti mengegarkan atau mengoyang pokok supaya buahnya jatuh atau kesan bunyi tembakan atau pun kesan gempa. Pada saya program ini baik jika dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. Disamping cara mendekati belia dan beliawanis, program ini juga dapat memupuk semangat jati diri dan patriotisme belia. Jesteru itu, pendekatan yang berhemah, bersopan santun dan berketrampilan perlu diterapkan dalam semua aspek program “ Gontor ‘ ini.

PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN – Produk Pertanian Baru Satu Penipuan Atau Kejahilan



Sejak kebelakangan ini banyak produk pertanian diperkenalkan oleh pihak swasta, kerajaan atau kumpulan-kumpulan tertentu. Produk-produk itu seperti buah jarak, vanilla, gaharu, ternakan cacing tanah, lintah, serai wangi , tanaman lada dan akhir-akhir ini ternakan burung layang-layang ( burung walid )
Promosinya sungguh hebat. Ada pihak yang menawarkan kursus dengan yuran RM 300.00 hingga RM 500.00 per kepala dalam sehari. Mereka juga menawarkan kontrak kepada pengusaha-pengusaha produk mereka. Pengusaha-pengusaha yang melantik mereka sebagai penasihat atau konsultan, serta membeli peralatan , bijih benih, baja daripada mereka, maka mereka akan membeli hasil tanaman pengusaha dengan harga yang berpatutan. Semua peralatan, biji benih dan juga baja yang dipromosikan ini dijual dengan harga yang tinggi.
Ramai petani yang telah mengeluarkan simpanan mereka untuk melabur bagi mengusahakan produk pertanian baru ini. Ada yang melabur sehingga RM 100,000.00. Selepas itu, ramai pengusaha ini merunggut kerana rakan kontrak mereka tidak membeli hasil tanaman mereka dengan alasan hasil tanaman yang dikeluarkan pengusaha-pengusaha kurang bermutu dan tidak mencapai kualiti yang mereka perlukan. Ada pula yang memberi alasan kilang mereka belum siap. Soalnya sekarang, di mana silapnya perkara ini ? Adakah produk-produk pertanian baru ini memang tidak berpotensi untuk diusahakan atau promosi-promosi ini sengaja mengambil kesempatan di atas kejahilan pengusaha-pengusaha ? Kita turut simpati mendengar rintihan pengusaha-pengusaha yang mengalami kerugian besar semata-mata ingin menjadi usahawan tani yang berjaya.