2010-08-15

Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

SUDUT SETEMU-TEMU, 14 OGOS 2010


Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

Petang kelmarin saya mewakili Embo Presiden PSS menghadiri mesyuarat ke dua Jawatankuasa Sambutan Bulan Merdeka peringkat daerah Kota Belud. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah kerana Tuan Pegawai daerah ada komitmen yang lain. Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada para wakil ketua jabatan dan NGO. Tidak ada ketua jabatan yang hadir .

Aktiviti yang dirancang ialah :

1. Majlis tahlil dan doa selamat – 30 Ogos

2. Pengibaran Jalur Gemilang – 25 Ogos

3. Perhimpunan sambutan bulan merdeka – 15 Sept

4. Derma darah – 15 Sept

5. Pertandingan bola sepak tertutup piala PD

6. Pidato Merdeka – tarikh belum ditentukan

Antara aktiviti yang hangat diperbincangkan ialah pengibaran Jalur Gemilang. Pengerusi sedih kerana tahap kesedaran masyarakat Kota Belud sangat rendah terhadap semangat patriotism melalui pengibaran Jalur Gemilang. Permis-permis perniagaan , pejabat-pejabat kerajaan negeri ataupun Persekutuan ( kecuali balai polis dan sekolah-sekolah yang berhampiran dengan pekan ), kereta-kereta , rumah-rumah persendirian jarang-jarang terdapat kibaran Jalur Gemilang.

Adakah tahap patriotisme masyarakat Kota Belud terhadap sambutan hari kemerdekaan negara sudah luntur atau ini dipengaruhi oleh ekonomi semasa ? Ada ahli –ahli mesyuarat menyalahkan pihak penganjur majlis rasmi kerajaan yang tidak berprotokol dan memperlekehkan para jemputan ( ketua jabatan ) . Ada pula ahli mesyuarat yang menyalahkan tahap kerjasama antara jabatan dan kepimpinan.

Saya berpendapat perkara inI disebabkan sistem penyampaian yang kurang berkesan . Pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Maka timbullah rangkaikata perkataan Bangau Oh Bangau .

Alangkah eloknya jika acara kemuncak dibuat di padang secara perbarisan, semua ADUN,MP dan ketua-ketua parti BN pemuda,wanita dan puteri , kontijen kakitangan awam, swasta dan NGO mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu-lagu patriotik dan bukan berhimpun di dalam dewan secara tertutup.

Suka juga kita melihat pemimpin kita melaungkan "MERDEKA" sebanyak 7 kali seperti yang telah dilakukan oleh YTM Tengku Abdul Rahman semasa mengistiharkan kemerdekaan tahun 1957 dahulu.

Pihak penganjur perlu mencari jalan menaikkan semangat masyarakat Kota Belud cintakan negara. Jemput YDP Tan Sri Speaker Dewan Rakyat bersama-sama di padang. Sebagai pejuang yang cintakan daerah tanah tumpah darahnya tentu beliau tidak hampakan kita. Barulah matlamat transformasi kerajaan berjaya dengan semangat 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

No comments:

Post a Comment