2013-01-23

PESTA SELIU-LIU KAAMATAN KAMPUNG PERANGINAN KUALA PINTASAN, KOTA BELUD 2013

KAMPUNG PERANGINAN KUALA PINTASAN KOTA BELUD AKAN MENGADAKAN PESTA SELIU-LIU KAAMATAN 2013 PADA BULAN MEI AKAN DATANG.


PESTA SELIU-LIU KAAMATAN
KAMPUNG PERANGINAN KUALA PINTASAN,
KOTA BELUD 2013
Tarikh : Mei, 2013.
Tempat : Kampung Peranginan Kuala Pintasan, Kota Belud.
Tema : Kampung Kita Tanggungjawab Kita.

PENGENALAN
Pesta Seliu-Liu Kaamatan Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud adalah pesta berbentuk expo. Pesta ini bertujuan memupuk perpaduan, keriasama, bantu membantu, hormat menghormati antara satu sama lain dan mengisi tabung kebajikan kampung melalui tajaan, sumbangan dan yuran penyertaan pertandingan-pertandingan sukan, rekreasi dan kebudayaan yang diadakan sepanjang pesta.
Pesta ini juga cuba menonjolkan konsep “seliu-liu” sebagai budaya hidup masyarakat peserta Kampung Peranginan yang telah diwarisi dari datuk nenek kita sejak sekian lama. “Seliu-liu” bermaksud bekerja sepasukan, muafakat, bergotong-royong dan bantu membantu.



RASIONAL
Pesta Seliu-liu diadakan untuk memantapkan lagi perpaduan dan kerjasama peserta-peserta kampung bagi mempromosikan produk pelancongan kampung ini kepada masyarakat luar melalui sukan, rekreasi dan kebudayaan .
Pesta ini juga akan menyelitkan pertandingan seni budaya seperti :-
i-gabungan tarian sediang, manuk-manuk lambukun dan jawi-jawi pangkalan
ii-maugunatif dan
iii-bertitik

OBJEKTIF
Pesta Seliu-liu Kaamatan ini adalah bertujuan untuk :-
i- memantapkan lagi konsep seliu-liu penduduk kampung dengan masyarakat luar.
ii-memperkenalkan produk pelancungan Kampung Peranginan Kuala Pintasan
Kota Belud kepada masyarakat luar.
iii-mengisi tabung kebajikan kampung.

SASARAN
  • Kampung-kampung persekitaran.
  • Belia dan beliawanis
  • Masyarakat luar dan pelancung
  • Anggaran sasaran pesta :- program pelancaran 500 orang sementara peserta pertandingan 200 orang.





2013-01-20

RESOLUSI PERSIDANGAN MEJA BULAT


RESOLUSI
PERSIDANGAN MEJA BULAT MENANGANI CABARAN UTAMA
KAMPUNG PINTASAN KOTA BELUD, 2013


20 Januari 2013 ( Ahad )
Balai Waris Cikgu Saibeh, Kesapang.

PENDAHULUAN
Menyedari bahawa perpaduan , kerjasama, bantu membantu dan hidup harmoni saling hormat menghormati di atara kaum dan agama adalah tunjang kekuatan peserta-peserta Kampung Peranginan Kuala Pintasan  Kota Belud maka Persidangan Meja Bulat menangani cabaran utama kampung ini telah diadakan pada 20 Januari 2013 bertempat di Balai Waris Cikgu Saibeh  Kesapang Kota Belud , dengan memilih isu perpaduan sebagai cabaran utama melestarikan pembangunan Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud.
Persidangan ini telah dihadiri 103 orang peserta terdiri daripada jawatankuasa kampung, ketua-ketua blok, dan peserta-peserta Kampung Peranginan.
           Menerima hakikat bahawa setiap peserta kampung adalah bertanggungjawab menjaga, menjaya dan membangunkan kampung tersebut maka pada hari ini kita perakukan bahawa cabaran-cabaran utama Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud akan ditangani dengan cara-cara berikut :-

PERTAMA : Mendesak pihak kerajaan meluluskan permohonan Kampung Peranginan Kuala Pintasan  Kota Belud dengan segera.

KE DUA : Memantapkan sistem penyampaian kampung
·         Memperkukuhkan jawatankuasa kampung
·         Melantik biro-biro yang dipertanggungjawabkan
·         Mewujudkan lamanan sesawang kampung

 KE TIGA : Memantapkan perpaduan – peserta yang berbilang bangsa dan agama melalui aktiviti-aktiviti :-
·         Program Permuafakatan
·         Hari Keluarga
·         Pesta
·         Kanival
·         Lain-lain yang berkaitan

KE EMPAT : Membaiki kemudahan asas seperti:-
·         Saliran pembuangan air bertakung
·         Membaiki jalan-jalan utama
·         Mewujudkan kemudahan-kemudahan reakriasi
·         Membina pagar kawasan
·         Menyiapkan rumah penempatan

KE LIMA : Mewujudkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan
·         Pemimpin kerajaan negeri
·         Pemimpin setempat
·         NGO yang berkaitan
·         Dan lain-lain.

KE ENAM : Persidangan ini telah mengenalpasti adanya cabaran dan halangan untuk berhubung dengan kewujudan Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud. Maka persidangan ini mencadangkan supaya diadakan satu bengkel kursus untuk membincangkan cabaran-cabaran utama di atas.
Sekian .

Dikeluarkan oleh,

Urusetia Pesta Seliu-liu Kaamatan, Kampung Peranginan Kuala Pintasan.

CABARAN UTAMA KAMPUNG PERANGINAN KUALA PINTASAN KOTA BELUD



PENGENALAN

            Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud merupakan kampung baru abad ke 21 yang berkonsepkan kampung pelancungan . Kampung ini terletak 15 kilometer Utara Kota Belud dan kira-kira 100 kilometer dari ibu negeri , Kota Kinabalu.
            Penduduk Kampung Peranginan Kuala Pintasan terdiri dari suku kaum SAMA, Dusun dan Irranun  membentuk 180 buah keluarga . Luas kampung tersebut  adalah 200 ekar dan terbahagi kepada 7 blok  iaitu blok A, B, C, D, E, F dan G.

SEJARAH KAMPUNG

            Kewujudan Kampung Peranginan Kuala Pintasan bermula pada tahun 1986 apabila  Encik Saibeh Haji Mansor dan Encik Sukoy Bin Dahi  mula meneroka kawasan tersebut. Pada ketika itu kawasan  tersebut masih lagi berstatus  Padang Ragut Kota Belud                         ( Rowc.62/55/30-off 23-1-56 ) dan  DOKB. 14/55/41 of 50-1-56 )

            Apabila kawasan  Padang Ragut Kota Belud dibahagi kepada lima kawasan pada tahun 1986 ialah :-
-      Kawasan Padang Ragut Kampung Taun Gusi
-      Kawasan Padang Ragut Kampung Labuan
-      Kawasan Padang Ragut Kampung Wakap
-      Kawasan Padang Ragut Kampung  Merabau
-      Kawasan Padang Ragut Kampung Tamau
Kawasan Kampung Peranginan Kuala Pintasan termasuk di dalam kawasan Padang Ragut Kampung Wakap.

            Pada tahun 1991, sekali lagi kawasan  Padang Ragut  kelima-lima kampung disemak semula dan dibahagikan kepada kawasan-kawasan baru. Kawasan baru ini telah diwartakan melalui no. G.N. 376-91 ( P.03125581 & 05124490 ) 
1.     Kampung Pintasan Reserve
2.    Kampung Tamau Reserve
3.    Kampung Tawadakan Reserve
4.    Kampung Wakap Reserve
5.    Kampung Labuan Reserve
6.    Kampung Lok Yul
7.    Kampung Kayu Putih
8.    Taman Pantai Pintasan
9.  Padang Ragut Gunasama Kg Wakap, Kg Labuan dan Kg Taun Gusi ( Kini dibangun sebagai Projek Agropolitan )
10.  Kawasan Padang Ragut Kampung Taun Gusi seluas 1000 ekar telah dianugerahkan kepada Syarikat Aquibo Sdn Bhd. ( Kini jadi kawasan misteri )
11.      Kawasan seluas 200 ekar dari kawasan Padang Ragut Kg Wakap telah dianugerahkan kepada Angkatan Tentera Malaysia untuk kegunaan Lapang Sasar. ( Kini telah dikembalikan kepada Kerajaan Negeri dalam proses permohonan Kampung Peranginan Kuala Pintasan juga akan dianugerahkan kepada SEDIA dan Yayasan Sabah )
12.  100 ekar daripada kawasan Padang Ragut Kampung Taun Gusi telah dianugerahkan kepada individu Kota Belud ( Kini dijual kepada Syarikat Bukan Bumiputera )
Pada masa tersebut, kawasan Kampung Peranginan Kuala Pintasan terletak di dalam kawasan Lapang Sasar ATM. Pada tahun 2010, ATM telah memulangkan kembali kawasan Lapang Sasar seluas 200 ekar tersebut kepada Kerajaan Negeri Sabah. Secara automatiknya kawasan tersebut menjadi “state land ”. Dengan itu peluang untuk kewujudan Kampung Peranginan telah menjadi lebih cerah.
            Pada 05.03.2012, Encik Saibeh Hj Mansor selaku Pengerusi Kampung Peranginan Kuala Pintasan mengemukakan permohonan secara rasmi Kampung Peranginan Kuala Pintasan kepada PPHT, Kota Belud. Permohonan ditolak melalui surat PPHT(KB):200-4/150/14 dengan alas an kawasan tersebut telah diperuntukkan kepada SEDIA dan Yayasan Sabah.
            Sebelum itu, Encik Saibeh telah mengemukakan permohonan tanah seluas 100 ekar untuk tujuan pertanian dan pelancungan ( 1995 dan 2007 ). Selaku Pengerusi Jawatan kuasa Kampung,  pihak jawatankuasa telah mengemukakan dua pucuk surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah. Surat-surat tersebut talah dipanjangkan kepada Jabatan Hasil Bumi Kota Kinabalu dan malangnya  belum ada apa-apa tindakan sehingga ke hari ini.
            Peneroka-peneroka juga telah mengemukakan permohonan tanah secara individu (180 orang pemohon). Walau bagaimanapun, borang-borang berkenaan telah dikembalikan dengan alasan kawasan tersebut telah diperuntukkan kepada SEDIA. Nama Yayasan Sabah tidak lagi disebut.

CABARAN

Ada beberapa cabaran yang perlu diberi perhatian oleh para peneroka Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud iaitu :- 

PERTAMA : Kelulusan Kampung Peranginan Kuala Pintasan daripada pihak yang berwajib. Permohonan kampung telak ditolak PPHT Kota Belud. Surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah belum ada jawapannya.

KEDUA : Saliran pembuangan air yang bertakung semasa hujan. Blok D, E dan F dibanjiri air apabila hujan lebat terutama  musim tengkujuh. Jalan utama dan jalan-jalan di blok D, E dan F menjadi becak/lumpur dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan.

KETIGA : Permastautin – ada beberapa peneroka tidak bermastautin di kampung tersebut. Mereka membiarkan rumah dan kawasan dipenuhi semak samun sehingga membebankan rakan-rakan peneroka yang lain.

KEEMPAT : Keselamatan – peneroka tidak memagar kawasan mereka. Akibatnya binatang ternakan  ( sapi dan kerbau ) masuk dan merosakkan tanaman . selain itu, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri hartabenda dan tanaman yang ditinggalkan.
KELIMA : Kebakaran – para peneroka mengambil mudah membersihkan kawasan mereka dengan membakar sampah dan semak samun secara terbuka. Api  amat cepat merebak dan tidak terkawal.

KEENAM : Peneroka terikut-ikut – peneroka ini terikut-ikut dan berniat mengambil tanah sahaja bukan meneroka kampung.  Peneroka sedemikian akan menjadi beban kepada peneroka yang lain.

KETUJUH : Perpaduan dan kerjasama – menyatupadukan  peneroka yang terdiri dari berbilang bangsa dan agama melalui misi dan visi yang jelas dan melestarikan pembangunan Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud , “ Bersatu Teguh Bercerai Roboh”


KESIMPULAN
Adalah diharapkan pada Persidangan Meja Bulat ini para peserta akan dapat mencari /mencadangkan  cara-cara bagaimana menangani cabaran-cabaran Kampung Peranginan Kuala Pintasan Kota Belud  ditangani bersama-sama seperti pepatah Melayu “Berat sama dipikul,ringgan sama dijinjing”,” Gunung sama didaki,lurah sama dituruni “, “Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah”, jangan sampai  “ seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing “. Biarlah kita “ seperti aur dengan tebing “.

“ Kampung Kita Tanggungjawab Kita “.