2010-08-03

Jelapang Padi Dan Agropolitan Pintasan Untuk Siapa ?

SUDUT SETEMU-TEMU 03 OGOS 2010



Tahniah daerah Tawau kerana telah Berjaya membasmikan miskin tegar, Masyarakat Tawau tentu berasa lega dan bangga atas kejayaan ini. Pemohon eKASIH tentu tiada lagi. Para Guru Besar dan Pengetua sekoalh tidak lagi dibebani dengan memproses borang-borang permohonan KWAPM. Permohonan rakyat untuk mendapat PPRT tentu berkurangan. Masyarakat Tawau hanya menumpu kepada mencapai ekonomi berprestasi tinggi.
Bagaimana dengan daerah Kota Belud ? Bila agaknya daerah bersejarah ini mencapai zero miskin tegar ? Adakah program mega “Jelapang Padi” dapat membasmi miskin tegar ? Adakah rancangan Agropolitan Pintasan dapat menangani miskin tegar ini ? Saya dengar rancangan Agropolitan Pintasan seluas lebih kurang 700 ekar akan diusahakan oleh 500 keluarga. Disediakan 500 buah rumah dan dibekalkan 1000 ekor lembu tenusu. Disamping kemudahan –kemudahan insfratruktur seperti sekolah, balai polis, klinik, kemudahan memproses susu lembu, peneroka juga diberi gaji/elaun RM 1000.00 sebulan.
Rancangan Agropolitan ini ( Kalau Betul ) memang sedap didengar. Tapi anehnya “1000 ekor lembu dijaga 500 buah keluarga”. Ini yang aneh. Bayangkan sebuah keluarga suami, isteri, kalau ada anak dua atau tiga orang, bererti setiap keluaraga ada 5 orang . Jadi 1000 ekor lembu dijaga oleh 2500 orang. Di manakah logiknya ?
Saya fikir pembangunan di Kota Belud perlu dipacu dengan kekuatan keintelektualan. Pihak yang berwajib tidak boleh mengambil kesempatan asal ada rancangan. Wang rakyat perlu dibelanja dengan berhemah. 700 ekar untuk 1000 ekor lembu 2500 orang penjaga, logik kah ?
Saya juga setuju dengan pendapat AC Fian-Fian bahawa para petani Kota Belud dieksplotasi oleh orang tengah. Orang tengah telah menjadikan mereka ‘mangsa’. Tentulah kalau difikirkan ini keterlaluan. Tapi, bayangkan petani ini tidak lagi berkuasa terhadap hasil padi mereka kerana sejak mula bekerja lagi mereka telah dibebani dengan hutang. Hasil tuaian padi pula tidak dapat melunaskan hutang. Perkara ini berpanjangan bertahun-tahun.
Di manakah keadilan untuk petani- petani ini ? Mengapa pihak yang berwajib menutup mata dan memekakkan telinga ? Bagaimana Transformasi Kerajaan di Kota Belud ? Slogan 1 Malaysia “ Rakyat Didahulikan Pencapaian Diutamakan”. Tentulah kesannya dalam PRU 13.

Tampilkan Tokoh Hebat Dan Berwibawa.

SUDUT SETEMU-TEMU 02 OGOS 2010



Kota Belud 100 kilometer dari ibukota Kota Kinabalu merupakan pekan sejarah yang dikenali dengan jolokan Cowboy Town of The East . Pekan ini terkenal dengan kuda Bajau, pembuat parang dan pengeluaran hasil padi. Malangnya ketiga-tiga industri ini diusahakan oleh mereka yang telah lanjut usia dan tidak mempunyai kerja pilihan.
Sebagai contoh pengusaha padi. Walaupun Kota Belud terkenal sebagai daerah Jelapang Padi, namun mereka yang menceburkan diri dalam industri ini adalah golongan yang telah berusia, Orang muda tidak tertarik dengan industri ini kerana bagi mereka industri ini tidak menguntungkan dan tidak menjamin masa depan yang lebih cerah. Begitu juga dengan industri pembuatan parang. Industri ini tidak akan menguntungkan jika Kota Belud tidak menjadi destinasi pelancongan. Penternakan kuda ( Pony ) adalah pilihan orang muda yang tidak berpeluang mendapat kerja yang lain. Tujuan mereka memelihara kuda adalah untuk berlumba di Tuaran ( Tuaran mempunyai padang lumba kuda ). Ganjarannya tidaklah seberapa. Kalau kuda menang berlumba, dapatlah sedikit ganjaran, tetapi jika keadaan sebaliknya berlaku mereka pulang dengan tangan kosong.
Dalam era transformasi ini mereka yang berkepentingan ( stakeholder) harus memikirkan masa depan masyarakat Kota Belud. Kota Belud harus mempunyai industri yang boleh menjana daerah ini ke arah daerah yang mempunyai pendapatan tinggi selaras dengan transformasi kerajaan. Industri Pelancongan, Pembuatan, Pendidikan, Sukan dan Kesihatan sangat berpotensi di Kota Belud.
Para pemimpin harus merancang ‘beyond’ atau 30 tahun ke depan. Pemimpin yang berwawasan dan mempunyai kekuatan intelektual perlu ditampilkan untuk memimpin daerah ini ke arah yang lebih maju. Kita mempunyai pemimpin yang hebat dan mempunyai ketokohan dalam kepimpinan. Selain daripada kehebatan tokoh-tokoh kepimpinan yang ada, mereka juga perlu dibantu oleh tokoh-tokoh muda yang berpendidikan tinggi. Jika tokoh-tokoh ini bersinergi dengan tokoh-tokoh muda yang hebat, Kota Belud akan muncul sebagai daerah terbilang di Malaysia.
Saya bukan berkempen atau melobi bagi pihak mereka, tapi sebagai anak Malaysia yang bermastautin di Kota Belud, saya rasa terpanggil supaya kedua-dua tokoh ini diketengahkan demi masa depan Kota Belud khususnya dan Malaysia amnya.

SUDUT SETEMU-TEMU 01 OGOS 2010



Selepas melawat beberapa gerai pamiran di majlis Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Bersama Rakyat bertempat di padang Kota Belud pagi kelmarin, saya bertemu dengan seorang rakan fb. Beliau mempelawa kami minum di Restoran Puteri Kasih di bangunan Majlis Daerah Kota Belud.
Untuk tidak menghampakan beliau, kami bersetuju. Semasa minum, rakan tersebut meluahkan pendapat beliau berhubung projek Jelapang Padi Kota Belud.
Rfb : Rakyat Tempasuk beruntung kerana projek Jelapang Padi Kota Belud 90% di kawasan Tempasuk.
Penulis : Ya, tapi setengah mereka tidak gembira kerana pada pendapat mereka tanaman padi adalah tanaman cukup makan sahaja.
Rfb : Ya, kalau kawasan kecil, 2 atau 3 ekar sahaja. Tapi kalau kawasan yang luas saya yakin menguntungkan.
Penulis : Saya setuju. Namun ramai petani Tempasuk tidak mempunyai kawasan yang luas. Kebanyakannya mempunyai tanah 2 atau 3 ekar sahaja. Ada pula yang terpaksa “mengerjakan tanah orang” kerana tidak mempunyai tanah sendiri yang mana hasilnya kelak dibahagi 50 – 50.
Rfb : Bagaimana kalau petani mengubah cara penanaman padi mereka. Jangan bergantung dengan orang tengah.’Radu sendiri, tanam sendiri, tuai sendiri, dan jual sendiri’.
Penulis : Itu cadangan yang baik. Bagaimana ?
Rfb : Hapuskan subsidi.Gantikan dengan setiap petani yang berdaftar diberi jentera pembajak ( Kabota ), mesin pengisar ( jenis kecil berharga lebih kurang RM 2000.00). Mereka tidak lagi bergantung dengan orang tengah. Beras yang hancur dan habuk padi boleh digunakan untuk makanan ternakan.
Penulis : Setujukah kerajaan ? Beras ini barang kawalan.
Rfb : Bukankah 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ . Transformasi bah !!
Saya tersenyum dan membayar minuman. Kami berpisah dengan berjanji akan berjumpa lagi. Saya ulangi kata-kata rakan fb tadi ‘ radu sendiri, tanam sendiri, tuai sendiri dan jual sendiri’ . Saya tersenyum sendiri.

SUDUT SETEMU-TEMU





Semasa menghadiri program kementerian perusahan dan asas tani bersama rakyat di padang Kota Belud pagi tadi, saya bersama anak lelaki saya Abdul Alif, sempat meninjau gerai-gerai agensi kerajaan dan usahawan –usahawan tempatan yang mempamirkan produk-produk mereka. Di majlis ini juga anak saya Abdul Alif mengambil kesempatan untuk mendaftar sebagai pemilih di kaunter UMNO bahagian Kota Belud.
Antara gerai yang kami tinjau ialah Gerai Mardi. Selain daripada mempamirkan produk Mardi, agensi ini juga menjual buku-buku manual. Kami sempat membeli dua buah buku iaitu ‘Teknologi Penternakan Ayam Kampung Pedaging’ dan ‘Teknologi Pengeluaran Kambing Pedaging di Malaysia’.
Buku-buku ini amat baik. Isi kandungannya dilengkapi dengan maklumat untuk membantu pengusaha yang ingin menceburi bidang ternakan ayam kampung pedaging atau pengeluar kambing pedaging.
Walau bagaimanapun buku yang mengandungi 41 halaman dengan cetakan kertas licin dan dihiasi gambar-gambar dijual dengan harga RM 27.50 sebuah. Harga yang telah ditetapkan ini agak mahal bagi orang kampung yang ingin memperolehinya. Saya cadangkan buku-buku seperti ini kalau pun tidak diberi secara percuma, tetapi harganya biarlah dikurangkan ke tahap yang lebih berpatutan agar orang kampung juga dapat memilikinya.

SUDUT SETEMU-TEMU 31 JULAI 2010



Assalamualaikum warahmatulahi wabarakhatu.
Seminggu lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan. Seperti biasa muslimin dan muslimat akan berpuasa menahan lapar dan dahaga disiang hari, berjemaah solat trawih , beribadat dan bersedekah kepada fakir miskin.
Kadang-kadang bulan Ranadhan ini juga dikenali sebagai bulan bazaar makanan. Usahawan-usahawan makanan bermusim akan tumbuh bagaikan cendawan dengan mendirikan permis-permis sementara, semata-mata untuk tujuan menjual lauk-pauk dan kuih muih sebagai hidangan berbuka puasa. Tidak hairanlah jika di bazaar-bazaar Ramadhan ini terdapat lauk-pauk dan kuih muih yang enak dan lazat serta jarang-jarang disediakan oleh restoran-restoran.
Alangkah baiknya jika usahawan-usahawan makanan bermusim ini dapat meneruskan usaha mereka ini sepanjang tahun.
Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.

SUDUT SETEMU-TEMU 30 JULAI 2010



‘ Gontor ‘ adalah satu program yang menghimpunkan belia dan beliawanis dalam satu gerakan kerja-kerja sukarela . Kumpulan ini membantu masyarakat di dalam kerja-kerja sosial seperti gotong royong, bencana alam, dan majlis-majlis yang memerlukan tenaga sukarelawan.
Program ‘ Gontor ’ ini biasanya dilaksanakan oleh belia dan beliawanis yang terlibat di dalam Skuad P 169 di bawah naungan YB Dato’ Ahli Parlimen. Kebiasaannya mereka akan bergerak dalam satu kumpulan. Identiti warna pakaian mereka adalah hitam, bermotorsikal atau kereta yang mempunyai “sound system” yang cukup kuat.
Perkataan ‘ Gontor ‘ dalam bahasa Sama/Bajau bererti mengegarkan atau mengoyang pokok supaya buahnya jatuh atau kesan bunyi tembakan atau pun kesan gempa. Pada saya program ini baik jika dilaksanakan secara tersusun dan berterusan. Disamping cara mendekati belia dan beliawanis, program ini juga dapat memupuk semangat jati diri dan patriotisme belia. Jesteru itu, pendekatan yang berhemah, bersopan santun dan berketrampilan perlu diterapkan dalam semua aspek program “ Gontor ‘ ini.

PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN – Produk Pertanian Baru Satu Penipuan Atau Kejahilan



Sejak kebelakangan ini banyak produk pertanian diperkenalkan oleh pihak swasta, kerajaan atau kumpulan-kumpulan tertentu. Produk-produk itu seperti buah jarak, vanilla, gaharu, ternakan cacing tanah, lintah, serai wangi , tanaman lada dan akhir-akhir ini ternakan burung layang-layang ( burung walid )
Promosinya sungguh hebat. Ada pihak yang menawarkan kursus dengan yuran RM 300.00 hingga RM 500.00 per kepala dalam sehari. Mereka juga menawarkan kontrak kepada pengusaha-pengusaha produk mereka. Pengusaha-pengusaha yang melantik mereka sebagai penasihat atau konsultan, serta membeli peralatan , bijih benih, baja daripada mereka, maka mereka akan membeli hasil tanaman pengusaha dengan harga yang berpatutan. Semua peralatan, biji benih dan juga baja yang dipromosikan ini dijual dengan harga yang tinggi.
Ramai petani yang telah mengeluarkan simpanan mereka untuk melabur bagi mengusahakan produk pertanian baru ini. Ada yang melabur sehingga RM 100,000.00. Selepas itu, ramai pengusaha ini merunggut kerana rakan kontrak mereka tidak membeli hasil tanaman mereka dengan alasan hasil tanaman yang dikeluarkan pengusaha-pengusaha kurang bermutu dan tidak mencapai kualiti yang mereka perlukan. Ada pula yang memberi alasan kilang mereka belum siap. Soalnya sekarang, di mana silapnya perkara ini ? Adakah produk-produk pertanian baru ini memang tidak berpotensi untuk diusahakan atau promosi-promosi ini sengaja mengambil kesempatan di atas kejahilan pengusaha-pengusaha ? Kita turut simpati mendengar rintihan pengusaha-pengusaha yang mengalami kerugian besar semata-mata ingin menjadi usahawan tani yang berjaya.