2010-07-29

SUDUT SETEMU-TEMU 29 Julai 2010.



PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN

Kesuburan tanah Kota Belud telah menjadi asset terpenting kepada usahawan tani menceburi sector pertanian. Padi merupakan tanaman yang terpenting di Kota Belud selain daripada getah dan buah-buahan tanah tinggi. Kota Belud merupakan pengeluar padi utama di negeri Sabah.
Penghujung minggu yang lalu saya sempat berbual-bual dengan seorang petani ( penanam padi ) di pasar malam ketika berbaris menunggu giliran membeli mertabak jawa. Beliau juga pengemar mertabak jawa . Saya bertanya pada beliau ;
Penulis – Sudah habis mengetam ( menuai ) ?
Petani – Padi saya kurang jadi, diserang penyakit merah. Saya dapat tiga tangki sahaja ( tangki jentuai )
Penulis – Berapa ekar ?
Petani – Tiga ekar.
Penulis – Sekurang-kurangnya tidak juga rugi .
Petani – Tidak rugi ? Masih ada baki di kilang.
Penulis – Tahun depan mungkin tidak lagi kerana projek jelapang padi akan siap.
Petani – Nak ! Saya sudah tua. Seluruh hidup saya tanam padi. Kalau ada orang yang senang ( kaya ) tanam padi, sayalah orangnya. Cukup makan bolehlah . Tapi kalau cari lebih, carilah usaha lain.
Perbualan kami tidak berpanjangan kerana gilirannya untuk mendapatkan mertabak jawa telah sampai. Sebelum beredar sempat lagi beliau menyambung, ‘ tanah ubi keledek lagi bagus ‘. Saya tersenyum dan mengakhiri perbualan kami dengan ucapan salam kepadanya.
Saya berfikir mengapa petani itu berkata demikian ? Bukankah para petani ( pesawah ) mendapat bantuan daripada kerajaan . Bermula dari membajak , baja , racun rumpai, menjual hasil , semua diberi subsidi. Mengapa pula masih berbaki ?Adakah hasil pesawah itu dimanipulasi oleh orang tengah ? Atau pesawah ini kurang kemahiran atau tidak bersungguh-sungguh dalam usahanya.
Saya merujuk perkara ini kepada salah seorang pengilang padi. Beliau menjelaskan rata-rata petani di kawasannya , berhutang . Mereka telah berhutang sebelum mereka menuai padi lagi.Hasil tuaian mereka tidak dapat membayar hutang. Hutang petani akan dibawah kehadapan. Begitulah seterusnya.
Jadi, saya terfikir bagaimana kerajaan menyelesaikan perkara ini kerana RMK 10 mensasarkan pendapatan perkapita sekeluarga RM 4000.00 sebulan ? Adakah rata-rata petani-petani ini berhutang pada kilang dan apabila tidak berupaya menjelaskan hutang mereka, adakah tanah sawah petani berhutang ini jatuh pada tangan pemiutang ? Sama-samalah kita renungkan nasib pesawah di daerah Kota Belud.

2010-07-28

SUDUT SETEMU-TEMU



MERTABAK JAWA , TERANG BULAN MENJANA JUTAWAN SENYA P

Anak bongsu saya , Nur Ain , sangat gemar makan kuih terang bulan dan mertabak Jawa.. Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya akan membawanya ke pasar malam Kota Belud untuk mendapatkannya.

Saya perhatikan penjual-penjual kuih terang bulan dan mertabak itu adalah belia-belia pendatang kaum Jawa. Para pengunjung pasar malam itu berbaris untuk mendapatkan kuih-kuih tersebut. Ada lebih kurang 5 buah meja yang menjual kuih-kuih tersebut. Saya menganggarkan pendapatan mereka antara RM200.00 hingga RM 300.00 semalam bagi setiap meja. Ini bererti pendapatan mereka sebulan dianggarkan RM 6000.00 sehingga RM 9000.00 .

Selain daripada menjual kuih terang bulang dan mertabak , penjual pecal, gado-gado, sate, sayap dan ikan bakar, goreng pisang dan sayur-sayuran juga dimonopoli oleh kaum Bugis dan Jawa.

Persoalannya bagaimana dengan belia dan beliawanis tempatan kita ? Adakah mereka kurang kemahiran atau telah berhijrah ke luar, ke tempat lain sehingga peluang yang disediakan oleh kerajaan dinikmati oleh orang lain ?

SUDUT SETEMU-TEMU




2. KOTA BELUD LOMBONG EMAS

Tanah Kota Belud yang subur ditambah dengan keramahan penduduknya telah menarik perhatian pendatang asing ke daerah ini untuk mencari rezeki. Kebanyakan pendatang ini terdiri daripada kaum Bugis , Filipina , Pakistan dan India yang masing-masing menceburi bidang tersendiri iaitu Bugis bertani dan berniaga kecil-kecilan, Filipina sebagai buruh binaan , Pakistan perniagaan tekstail dan India pula mengusahakan restoran.

Saya sangat tertarik dengan pendatang kaum Bugis . Mereka ini menyewa tanah (biasanya tanah terbiar) daripada penduduk tempatan dengan kadar sewa sebanyak RM 50.00 seekar dalam tempoh satu musim. Mereka menanam tembikai, ubi keledek, jagung manis atau sayur-sayuran. Kebiasaannya sebuah keluarga akan menyewa seluas 3 ekar atau lebih .

Menurut seorang kenalan ( Bugis ) seeker tembikai jika dijaga dengan baik dan kurang hujan boleh mengeluarkan hasil RM 7000.00 hingg RM 9000.00 ( 2 bulan semusim ) kalau tidak bertembung dengan musim buah-buahan. Ubi keledek yang subur, cukup penjagaan serta baja yang baik boleh mengeluarkan hasil antar RM 4000.00 hingga RM 5000.00 semusim ( 4 bulan ) Hasil dari jualan sayur-sayuran adalah untuk perbelanjaan harian mereka.

Kesimpulannya sebuah keluarga Bugis yang rajin memperolehi pendapatan diantara RM 12000.00 hingga RM 21000.00 semusim. Mereka juga mempunyai rangkaian pemasaran yang sungguh baik. Mereka memasarkan hasilan mereka keseluruh Sabah (Kota Kinabalu, Sandakan , Tawau, ) Labuan malahan juga sampai juga ke Negara Brunai . Apabila tiba musim menuai hasil, pemborong-pemborong akan datang bersama lori ‘memajak’ tembikai, ubi keledek atau jagung manis mereka. Pendek kata mereka ini tiada masalah pemasaran.

SUDUT SETEMU-TEMU 28 Julai 2010.




1. KOTA BELUD PEKAN SEJARAH

Kota Belud merupakan pekan sejarah. Kota bermakna kubu dan belud bererti bukit ( Sama/Bajau ). Secara kesimpulannya Kota Belud bermakna Bukit Pertahanan. Kesan-kesan sejarah masih boleh dilihat di atas bukit yang membahagikan pekan Kota Belud dan Tamu Kota Belud.

Kini, Bukit Pertahanan ini telah dibangunkan sebagai taman yang dikenali sebagai Taman Tun Said. Taman ini mempunyai restoran , rumah rehat, pejabat pentadbiran daerah, pejabat kesihatan, pejabat info pelancongan dan perpustakaan daerah bakal didirikan di situ.

Bukit pertahanan ini wajar dibangunkan bersungguh-sungguh. Alangkah cantiknya jika ada perkhidmatan kereta kebel yang merentas bukit ini hingga ke tamu Kota Belud. Bina tugu peringatan di atas bukit itu. Selain itu juga dilengkapi dengan tempat melihat panorama Kota Belud yang indah permai. Jadi, pengunjung atau pelancong luar yang datang tidak perlu menaiki “pick up’ untuk ke tamu Kota Belud.

2010-07-27



SISTEM PENYAMPAIAN
Sistem penyampaian adalah faktor yang penting dalam proses transformasi kerajaan. Banyak program-program transformasi yang sepatutnya difahami tidak sampai kepada rakyat. Perkara ini disebabkan kejahilan agen-agen yang dilantik tidak dapat mengikuti aras perubahan atau menentang perubahan.
Dalam slogan 1 Malaysia ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ , pemilihan atau perlantikan agen-agen kerajaan haruslah berdasarkan merit. Pilih mereka yang layak sahaja. Dengan agen yang berkebolehan dan memahami dasar-dasar kerajaan , maklumat yang tepat dapat disalurkan dengan lebih berkesan.


JUARA RAKYAT BUKAN RETORIK


Baru –baru ini saya sempat menghadiri program Juara Rakyat ,di luar daerah Kota Belud. Majlisnya sangat meriah.Pelbagai permainan,hiburan dan pameran agensi kerajaan di pamerkan .Pendek kata , setiap pengunjung berasa seronok dan puas hati.
Dalam perjalanan pulang, beberapa persoalan timbul dikepala saya
Juara Rakyat sepatutunya ialah perhimpunan rakyat tanpa mengira fahaman politik
Program .Juara Rakyat harus memfokaskan kepada keberkesanan rakyat
Mempamerkan keberhasilan dan kemenjadian rakyat.
Kehebatan sistem penyampaian .
Keberkesanan program transformasi kerajaan
Pada pandangansaya Juara Rakyat yang saya hadiri itu seolah –olah mempamerkan kehebatan pemimipin BN dan segala program berpusatkan pemimpin.
Dalam slagon 1 Malaysia “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”sepatutnya majlis tersebut mengumpulkan semua rakyat dengan mengenepikan fahaman politik.Setiap kampung mukim atau kawasan mempamerkan pencapaian masing-masing. Dalam pada itu , pada hemat saya Juara Rakyat sepatutnya dikelolahkan oleh NGO agar semua lapisan rakyat dari pelbagai idealogi dapat turut serta. Di sini adakan pameran khas tentang projek-projek pembangunan kerajaan yang telah , sedang dan akan dilaksanakan. Dengan berbuat demikian rakyat akan dapat menambah keyakinan pada dasar-dasar transformasi kerajaan. Dengan demikian transformasi kerajaan bukan lagi satu retorik tapi usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh untuk memajukan rakyat dan negera.

2010-07-26

SUDUT SETEMU-TEMU



Saya dilahirkan pada 13 Julai 1952 berdasarkan rekod surat sumpah di kampung Taun Gusi Kota Belud. Keluarga saya adalah petani. Tahun 1960 saya mula bersekolah di SRK Taun Gusi yang ketika itu beratap zing, berlantaikan tanah . Kerusi dan meja kayu yang panjang disediakan. Ruangan dindingnya hanya ditutup separuh sahaja untuk membolehkan angin masuk ke dalam bilik darjah .
Saya tamat darjah enam pada tahun 1964 dan bapa saya menghantar saya untuk belajar di Government Junior Secondary School Kota Belud ( GJSS, KB ) . Saya di tempatkan untuk belajar di Bridge Class I . Setiap hari untuk datang ke sekolah saya terpaksa berjalan kaki selama lebih kurang dua jam untuk sejauh lima kilometer dan merentas tiga batang sungai. ( Sungai Pak SadongTampasuk) Walaupun ada jambatan gantung disediakan , namun sering kali jambatan ini putus akibat banjir.Jika keadaan ini berlaku , saya terpaksa merentas sungai.
Saya bertolak daripada rumah seawal jam 6 pagi. Ketika itu tiada sebuah jam pun di rumah saya . Untuk merujuk jam 6 pagi saya terpaksa mendengar bunyi pukulan loceng dari pekan Kota Belud yang boleh kedengaran sehingga 10 kilometer. Setelah tamat form three di GJSS, KB saya tidak menduduki peperiksaan LCE kerana ingin menjadi guru sandaran.
Saya memulakan tugas sebagai seorang guru pada 1 Jun 1969 di Govement Primary School Kota Belud sebagai guru sementara. Guru Besar di sekolah itu pada masa tersebut ialah Cikgu Linggam yang berasal juga dari pekan Kota Belud. Pada tahun 1971 – 1972 saya menjalani latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran. Elaun yang diberi ketika itu hanya RM 30.00 sebulan. Pengetua maktab ketika itu Cikgu Bungsu , seorang yang tubuh badannya kecil tetapi cukup tegas.
Semasa menjalani latihan di maktab saya mengambil peperiksaan LCE dan seterusnya SPM secara persendirian. Syukur alhamdullilah saya lulus memperolehi sijil perguruan disamping lulus peperiksaan LCE dan SPM. Untuk pertama kalinya sebagai guru terlatih saya dihantar bertugas ke SRK Tuguson pada tahun 1973. Guru Besar saya ialah Cikgu Damin Terimo . Beliau seorang yang baik hati . Selain mengajar beliau juga seorang peniaga sambilan di kampung yang mengambil upah mengisar padi.
Kerja sebagai seorang pendidik telah membawa saya kebeberapa buah sekolah rendah dan menengah . Berikut adalah senarai sekolah yang pernah menjadi tempat saya bertugas.

Tahun Nama Sekolah. Jawatan

1974 SRK Nanamun, Kota Belud Guru biasa
1975 SRK Kesapang, Kota Belud Guru biasa
1978 SMK Taun Gusi Kota Belud Guru biasa
1979 Berkursus di MPIK Cheras , Kuala Lumpur Kursus APD
1982 SMK Labuan, Wilayah Persekutuan Guru biasa
1986 SMK Abdul Rahim Kudat Guru biasa
1988 SK Kesapang Kota Belud Guru Besar
1998 Pejabat Pendidikan Daerah Penyelia
2000 Pejabat Pendidikan Bahagian PBU Penyelia Kokum PBU
2002 SK Tamu Darat Kota Belud Guru Besar
2003 SK Taun Gusi Kota Belud Guru Besar
2009 SK Timbang Dayang Kota Belud Guru Besar
Julai 2010 Bersara Wajib

Selama lebih 41 tahun berkhidmat sebagai pendidik, saya pernah menjawat beberapa jawatan seperti Ketua Guru Disiplin dan Ketua Waden ( sekolah menengah ). Saya juga pernah menjadi YDP Majlis Guru Besar Daerah ( 1995 – 1998 ) dan juga merupakan Esco Tertinggi Majlis Guru Besar Negeri Sabah ( 1996 – 1998 ) . Dalam hubungan kemasyarakatan , saya juga bergiat dalam pertubuhan persatuan suku kaum. Semenjak tahun 2005 hingga kini saya adalah setiausaha agong Persatuan Sama Sabah ( PSS )

Sesungguhnya pengalaman pahit dan manis sepanjang saya bertugas akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup saya sebagai pendidik. Kini, pendidikan telah banyak melalui perubahan sejajar dengan perkembangan teknologi. Jika dulu murid hanya kenal pencil dan buku kini era teknologi maklumat mengubah keadaan. Pendidik hari ini perlu menambah ilmu agar tidak dipandang rendah kebolehannya oleh anak didiknya sendiri