2010-08-19

ORANG NOMBOR 2 KEPIMPINAN UMNO KOTA BELUD BERSUARA



Syabas dan tahniah kepada orang nombor 2 kepimpinan UMNO Kota Belud kerana telah respond dan bersuara tentang rancangan kerajaan membina Empangan Tambatuan
(Berita Harian : 18Ogos –edisi Sabah & Sarawak ; m/s 6 )



Kita bukannya menentang rancangan tersebut dan juga kita bersetuju komen YB ADUN Kadamaian (Daily Express, edisi Melayu ; m/ 3 ) bahawa empangan tersebut bakal menjana sumber ekonomi baru di daerah ini. Bagaimana pula pendirian Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO Kota Belud dalam perkara ini ? Pemuda, Wanita dan Puteri tidak seharusnya terus membisu berhubung dengan isu-isu semasa.

Kita harus ingat dalam PRU 12 yang lepas, BN menang dengan majoriti 3 000 lebih undi sahaja. Jika isu empangan dimainkan oleh parti pembangkang serta disokong oleh mereka yang simpati terhadap derita yang bakal di tanggung oleh penduduk Tambutuon , Gundukut dan Kaiduan , BN bukan sahaja kehilangan 5 000 pengundi malahan mungkin lebih.

Saya mencadangkan supaya isu empangan ini perlu ditangani dengan permuafakatan. Rakyat harus mendapat penjelasan yang lebih dengan cara dialog atau pertemuan hari hati ke hati . Saya yakin Empangan Tambuton ini akan jadi kenyataan jika hati nurani rakyat perkampungan yang terlibat dapat dimenangi .



1 Malaysia , Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan .

‘ BEJOGO ‘ ERATKAN PERPADUAN

SUDUT SETEMU-TEMU, 18 OGOS 2010



' Bejogo' adalah adat dan kepercayaan suku Kaum Sama/Bajau Kota Belud yang masih diamalkan hingga sekarang.'Bejogo' bermaksud berjaga. Acara bejogo ini dibuat selepas kelahiran anak, sewaktu sakit tenat atau meninggal dunia.

Bejogo selepas kelahiran pengisiannya adalah dengan bermain daun terup , sakit tenat dengan membaca yasin dan mati pula dengan membaca al quran, Tujuan bejogo agar bayi, si sakit tenat dan si mati tidak diganggu oleh balan-balan iaitu sejenis mahluk menyerupai syaitan jadian. Menurut cerita balan-balan ini pada asalnya manusia biasa dan apabila dirasuk maka menjadi mahluk luar biasa , tidak kelihatan dengan mata kasar kecuali bunyinya dan air liurnya menitis seperti bintang-bintang. Balan-balan ini akan membunuh bayi atau si sakit untuk dimakan bersama keluarganya. Balan-balan ini juga disebut sebagai 'Selambadut' . Ia terbang ( kepala dan tali perut sahaja )

Bejoga juga dilakukan di kubur si mati . Kubur si mati akan dijaga bagi mencegah balan-balan mengorek semula kubur si mati. Kubur si mati dijaga berdasarkan kedudukan si mati di dalam masyarakatnya. Jika si mati adalah pembesar dan berketurunan Datu , kuburnya akan dijaga 40 hari ( siang dan malam ) . Jika pembesar biasa sahaja kuburnya akan dijaga selama 20 hari manakala orang dewasa biasa selama 10 hari dan kanak-kanak biasa selama 7 hari .

2010-08-17

‘ DUANG ‘ MENGERATKAN SILATURAHIM

SUDUT SETEMU-TEMU , 17 OGOS 2010




Semalam dengan ditemani anak lelaki saya Abdul Hadi , saya berkesempatan menghadiri jemputan kenduri ' bangi ' , doa selamat dan berbuka puasa di rumah Encik Kiong Bin Tawau di Kampung Kesapang. Kenduri ' bangi ' dan doa selamat tersebut dibuat selepas genap 40 hari anakanda beliau iaitu Allahyarham Zairuddin meninggal dunia.

' Bangi ' dalam bahasa Sama/Bajau ialah kenduri arwah dan doa selamat . ' Bangi ' ini dilaksanakan selepas kematian , 7 hari, 40 hari, 100 hari dan 'Temantaun' ( selepas setahun )

Jemputan ditetapkan jam 5.30 petang. Kenduri arwah dan doa selamat , solat Maghrib , solat Isyak , dan solat sunat tarawih dipimpin dan diimamkan oleh Encik Kalbeh Haji Ibrahim.

Tuan rumah telah menyediakan beberapa jenis juadah berbuka puasa seperti minuman panas dan sejuk , kuih-muih , buah-buahan , dan beranika jenis lauk pauk.

Setelah majlis tamat , tuan rumah membekalkan semua jemaah dengan ' duang ' ( berbentuk hamper diisi dengan kuih – muih tradisional, nasi bungkus dan lauk pauk , minuman dan makanan ringan ) . Imam biasanya akan mendapat ' tekok duang ' ( kepala duang ) iaitu 'duang' yang paling besar dan lain daripada yang lain .

Seronok juga sekali sekala mendapat ' duang ' tetapi masalahnya ' duang ' selalunya berat susah untuk dijinjing , terpaksa dipikul atau dijunjung.

' Duang ' adalah bahasa Sama/Bajau masyarakat Kota Belud manakala penduduk Sama/Bajau Tuaran menyebutnya

sebagai ' Sampur " .

2010-08-16

EMPANGAN TAMBATUON - Perlu Ditangani Seperti Menarik Rambut Di Dalam Tepung, Rambut Tak Putus Tepung Tak Berselerak .

SUDUT SETEMU-TEMU, 16 OGOS 2010



Cadangan pembinaan empangan di Sungai Tampasuk berhampiran Kampung Tambatuon dalam kawasan Kadamaian tidak menguntungkan BN dalam PRU ke 13.

Tujuan pembinaan empangan yang bernilai RM 450 juta ( BH , 13 ogos, Edisi Sabah & Sarawak , m/s 3 ) itu adalah semata-mata untuk pengairan Jelapang Padi Kota Belud. Projek mega ini selain tidak dapat menyelesaikan kemelut kemiskinan di daerah Kota Belud , projek ini tidak menguntungkan penduduk sekitar Kampung Tambatuon.

Projek Jelapang Padi Kota Belud terletak di kawasan Tampasuk . Penduduk sekitar Tambatuon pula terpaksa mengorbankan kampung halaman , tanah pusaka, kebun buah-buahan dan harta peninggalan nenek moyang mereka semata-mata kerana Projek Mega Jelapang Padi Kota Belud.

Jika Projek Empangan Kadamaian itu projek jangka panjang kerajaan seperti Empangan Bakun di Sarawak untuk menjana hidroeletrik ( Kota Belud Selalu Putus Tenaga ), logi air bersih , pengairan perindustrian menjelang 2050 mungkin boleh diterima akal.

Daerah Kota Belud perlukan industri yang boleh menjana pendapatan baru kepada penduduk Kota Belud. Sebagai contoh 10 ekar tanah sawah boleh menjana sebuah keluarga dengan kadar RM 10 000.00 semusim ( 4 bulan ) tetapi 10 ekar tanah jika dibangunkan untuk industri boleh menjana pendapatan 1 000 keluarga.

Saya mencadangkan projek Empangan Kadamaian di bina di kawasan Tampasuk kerana Jelapang Padi Kota Belud dan Agropolitan Pintasan 95 % terletak di kawasan Tampasuk.

Isu Empangan Kadamaian sudahpun dipolitikkan oleh sesetengah pihak. Saya khuatir isu ini akan menjadi lebih parah lagi menjelang PRU ke 13 yang boleh menjejaskan peluang BN mempertahankan kerusi-kerusinya di daerah ini.

Rakyat sejahtera ialah rakyat yang hidup harmoni , aman dan damai tanpa memikirkan keselesaan, keselamatan kampung mereka tergugat . Isu Empangan Kadamaian perlu ditangani ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus , tepung tak berselerak.

2010-08-15

AYAM MENANG KAMPUNG TERGADAI

SUDUT SETEMU-TEMU ,15 OGOS 2010


Saudara / saudari rakan fb yang saya hormati;

Cerita pengkisahan Embo Ali wajar ditutup dan dihentikan memandangkan salasilah Embo Ali tidak dapat dikesan dan diperolehi. Nama beliau tiba-tiba muncul di kalangan penduduk Kampung Pandasan menentang penjajah British . Cerita setelah seabad lamanya kini menjadi seperti lagenda Mahsuri di Pulau Langkawi.

Dibulan Ramadan yang mulia ini marilah kita sama-sama berdoa dan memohon keampunan kepada Tuhan dan maaf kepada saudara/saudari kita yang tersinggung atau terkilan berhubung dengan cerita lagenda ini.

Saudara/saudari tentu pernah membaca cerita rakyat yang bertajuk Pak Kadok. Dikisahkan bahawa Pak Kadok yang penuh yakin ingin berlaga ayam dengan ayam raja, telah mengadaikan kampung berserta penduduk dan anak isterinya. Malang nasib Pak Kadok kerana walaupun ayamnya menang tapi kampung tergadai.

Sebagai rakyat Kota Belud yang cintakan daerah ini tentunya kita tidak mahu cerita-cerita seperti ini terus berlanjutan. Cerita-cerita yang memecah belahkan perpaduan masyarkat kita wajar ditinggalkan. Marilah kita bertekad bersatu tenaga , membulatkan fikiran dan menyusun langkah bersama-sama bangsa lain dan pemimpin kita serta rakyat biasa memajukan daerah Kota Belud dengan menyahut seruan transformasi kerajaan 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

SUDUT SETEMU-TEMU, 14 OGOS 2010


Sambutan Hari Merdeka Dalam Semangat Bangau Oh Bangau

Petang kelmarin saya mewakili Embo Presiden PSS menghadiri mesyuarat ke dua Jawatankuasa Sambutan Bulan Merdeka peringkat daerah Kota Belud. Mesyuarat dipengerusikan oleh Penolong Pegawai Daerah kerana Tuan Pegawai daerah ada komitmen yang lain. Ahli-ahli mesyuarat terdiri daripada para wakil ketua jabatan dan NGO. Tidak ada ketua jabatan yang hadir .

Aktiviti yang dirancang ialah :

1. Majlis tahlil dan doa selamat – 30 Ogos

2. Pengibaran Jalur Gemilang – 25 Ogos

3. Perhimpunan sambutan bulan merdeka – 15 Sept

4. Derma darah – 15 Sept

5. Pertandingan bola sepak tertutup piala PD

6. Pidato Merdeka – tarikh belum ditentukan

Antara aktiviti yang hangat diperbincangkan ialah pengibaran Jalur Gemilang. Pengerusi sedih kerana tahap kesedaran masyarakat Kota Belud sangat rendah terhadap semangat patriotism melalui pengibaran Jalur Gemilang. Permis-permis perniagaan , pejabat-pejabat kerajaan negeri ataupun Persekutuan ( kecuali balai polis dan sekolah-sekolah yang berhampiran dengan pekan ), kereta-kereta , rumah-rumah persendirian jarang-jarang terdapat kibaran Jalur Gemilang.

Adakah tahap patriotisme masyarakat Kota Belud terhadap sambutan hari kemerdekaan negara sudah luntur atau ini dipengaruhi oleh ekonomi semasa ? Ada ahli –ahli mesyuarat menyalahkan pihak penganjur majlis rasmi kerajaan yang tidak berprotokol dan memperlekehkan para jemputan ( ketua jabatan ) . Ada pula ahli mesyuarat yang menyalahkan tahap kerjasama antara jabatan dan kepimpinan.

Saya berpendapat perkara inI disebabkan sistem penyampaian yang kurang berkesan . Pihak yang bertanggungjawab gagal melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka. Maka timbullah rangkaikata perkataan Bangau Oh Bangau .

Alangkah eloknya jika acara kemuncak dibuat di padang secara perbarisan, semua ADUN,MP dan ketua-ketua parti BN pemuda,wanita dan puteri , kontijen kakitangan awam, swasta dan NGO mengibar Jalur Gemilang sambil menyanyi lagu-lagu patriotik dan bukan berhimpun di dalam dewan secara tertutup.

Suka juga kita melihat pemimpin kita melaungkan "MERDEKA" sebanyak 7 kali seperti yang telah dilakukan oleh YTM Tengku Abdul Rahman semasa mengistiharkan kemerdekaan tahun 1957 dahulu.

Pihak penganjur perlu mencari jalan menaikkan semangat masyarakat Kota Belud cintakan negara. Jemput YDP Tan Sri Speaker Dewan Rakyat bersama-sama di padang. Sebagai pejuang yang cintakan daerah tanah tumpah darahnya tentu beliau tidak hampakan kita. Barulah matlamat transformasi kerajaan berjaya dengan semangat 1 Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

2010-08-12

Embo Ali




Saya terbaca di dalam ruangan suratkhabar berbahasa Melayu, Saudara Azrone terkilan kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil inisiatif memulihara makam dan kubu Embo Ali di Kampung Pandasan Kota Belud.

Saya setuju dengan pendapat saudara Azrone agar sejarah perjuangan Embo Ali diketengahkan kepada orang ramai. Saya mencadangkan jika sejarah Embo Ali ini mempunyai impak yang tinggi kearah ekonomi berprestasi tinggi agar satu seminar mengisahkan perjuangan Embo Ali ini dibuat dan saya sanggup untuk menjadi pesertarnya . Kita jemput sejarahwan-sejarahwan untuk membentangkan kertas kerja . Saya yakin, selain dari diri saya sendiri masih ramai lagi di luar sana yang masih samar-samar siapa Embo Ali ini sebenarnya ? Siapa ibubapanya ? Dari mana asal usulnya ? Adakah beliau ini anak jati Pandasan atau pendatang asing ? Adakah beliau mempunyai keluarga di Kampung Pandasan ?

Keraguan ini timbul kerana pada suatu masa dahulu ada pemimpin politik dari Papar yang menyatakan bahawa beliau adalah waris Embo Ali. Beliau berjuang untuk menegakkan keadilan untuk Embo Ali .

Sejarah Embo Ali ini telah diekspolitasikan untuk keuntungan politik. Jadi sudah sampai masanya untuk rakyat Kota Belud khususnya dan Malaysia amnya mengetahui siapa Embo Ali ini sebenarnya.