2010-07-21

BARANG TEMPATAN LEBIH BERKUALITI






Belilah Barangan Tempatan merupakan susulan daripada Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang telah dilancarkan pada tahun 1998. Penjenamaan semula seruan ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan masyarakat tempatan dengan harga yang berpatutan dan membantu pengusaha tempatan dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan. Ia juga bagi mewujud dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang barang dan perkhidmatan yang ditawarkan setaraf dengan piawaian kebangsaan dan dijual dengan harga yang berpatutan.
Untuk tujuan seruan ini, barangan buatan tempatan diklasifikasikan sebagai "semua barang yang dibuat, dipasang dan dikeluarkan serta perkhidmatan yang ditawarkan di dalam daerah ini". Konsep ini digunapakai kerana ekonomi sesebuah daerah akan dapat terus dijana dan distabilkan walaupun dalam kegawatan jika terdapat aliran wang dan perbelanjaan domestik dalam sesebuah tempat. Selain itu memberi peluang kepada pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan meningkatkan pengeluaran dan pendapatan. Sehubungan dengan ini juga dapat memastikan krisis ekonomi global tidak memberi kesan negatif yang mendalam kepada para peniaga dan pengguna.
Matlamat atau tujuan membeli barang buatan tempatan adalah untuk mewujudkan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna untuk membeli barangan buatan setempat. Selain itu ianya juga dapat menyedarkan para pengguna untuk membeli barangan buatan tempatan yang berkualiti berbanding barangan luar yang kualitinya belum diuji.
Rasionalnya kualiti barangan tempatan adalah setanding dengan barangan luar .Dengan memilih barangan tempatan, pengguna bertindak bijak kerana memilih barangan berkualiti dan ini secara langsung dapat mengurangkan kos perbelanjaan. Dalam pada itu juga dapat membantu merangsang kegiatan ekonomi domestik.

Pengguna perlu terlebih dulu mengubah sikap dan tanggapan terhadap barangan tempatan. Kita tidak boleh menafikan masih ramai rakyat yang lebih cenderung untuk membeli barangan import. Jika sikap sedemikian berterusan, kempen yang dijalankan ini akan terbantut.
Dengan membeli barangan tempatan, kita bukan sekadar menyokong industri tempatan malah membantu melestarikan ekonomi negara. Membeli barangan tempatan sekurang-kurangnya mengurangkan pengaliran wang keluar. Membeli dan menggunakan barangan tempatan adalah tindakan awal yang perlu kita ambil untuk bersama-sama menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.
Akhir sekali, peranan dan pengaruh semua pihak berkepentingan perlu melipatgandakan usaha untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat untuk turut serta menyokong seruan membeli barangan tempatan.

No comments:

Post a Comment