2010-07-26

SUDUT SETEMU-TEMU



Saya dilahirkan pada 13 Julai 1952 berdasarkan rekod surat sumpah di kampung Taun Gusi Kota Belud. Keluarga saya adalah petani. Tahun 1960 saya mula bersekolah di SRK Taun Gusi yang ketika itu beratap zing, berlantaikan tanah . Kerusi dan meja kayu yang panjang disediakan. Ruangan dindingnya hanya ditutup separuh sahaja untuk membolehkan angin masuk ke dalam bilik darjah .
Saya tamat darjah enam pada tahun 1964 dan bapa saya menghantar saya untuk belajar di Government Junior Secondary School Kota Belud ( GJSS, KB ) . Saya di tempatkan untuk belajar di Bridge Class I . Setiap hari untuk datang ke sekolah saya terpaksa berjalan kaki selama lebih kurang dua jam untuk sejauh lima kilometer dan merentas tiga batang sungai. ( Sungai Pak SadongTampasuk) Walaupun ada jambatan gantung disediakan , namun sering kali jambatan ini putus akibat banjir.Jika keadaan ini berlaku , saya terpaksa merentas sungai.
Saya bertolak daripada rumah seawal jam 6 pagi. Ketika itu tiada sebuah jam pun di rumah saya . Untuk merujuk jam 6 pagi saya terpaksa mendengar bunyi pukulan loceng dari pekan Kota Belud yang boleh kedengaran sehingga 10 kilometer. Setelah tamat form three di GJSS, KB saya tidak menduduki peperiksaan LCE kerana ingin menjadi guru sandaran.
Saya memulakan tugas sebagai seorang guru pada 1 Jun 1969 di Govement Primary School Kota Belud sebagai guru sementara. Guru Besar di sekolah itu pada masa tersebut ialah Cikgu Linggam yang berasal juga dari pekan Kota Belud. Pada tahun 1971 – 1972 saya menjalani latihan perguruan di Maktab Kent Tuaran. Elaun yang diberi ketika itu hanya RM 30.00 sebulan. Pengetua maktab ketika itu Cikgu Bungsu , seorang yang tubuh badannya kecil tetapi cukup tegas.
Semasa menjalani latihan di maktab saya mengambil peperiksaan LCE dan seterusnya SPM secara persendirian. Syukur alhamdullilah saya lulus memperolehi sijil perguruan disamping lulus peperiksaan LCE dan SPM. Untuk pertama kalinya sebagai guru terlatih saya dihantar bertugas ke SRK Tuguson pada tahun 1973. Guru Besar saya ialah Cikgu Damin Terimo . Beliau seorang yang baik hati . Selain mengajar beliau juga seorang peniaga sambilan di kampung yang mengambil upah mengisar padi.
Kerja sebagai seorang pendidik telah membawa saya kebeberapa buah sekolah rendah dan menengah . Berikut adalah senarai sekolah yang pernah menjadi tempat saya bertugas.

Tahun Nama Sekolah. Jawatan

1974 SRK Nanamun, Kota Belud Guru biasa
1975 SRK Kesapang, Kota Belud Guru biasa
1978 SMK Taun Gusi Kota Belud Guru biasa
1979 Berkursus di MPIK Cheras , Kuala Lumpur Kursus APD
1982 SMK Labuan, Wilayah Persekutuan Guru biasa
1986 SMK Abdul Rahim Kudat Guru biasa
1988 SK Kesapang Kota Belud Guru Besar
1998 Pejabat Pendidikan Daerah Penyelia
2000 Pejabat Pendidikan Bahagian PBU Penyelia Kokum PBU
2002 SK Tamu Darat Kota Belud Guru Besar
2003 SK Taun Gusi Kota Belud Guru Besar
2009 SK Timbang Dayang Kota Belud Guru Besar
Julai 2010 Bersara Wajib

Selama lebih 41 tahun berkhidmat sebagai pendidik, saya pernah menjawat beberapa jawatan seperti Ketua Guru Disiplin dan Ketua Waden ( sekolah menengah ). Saya juga pernah menjadi YDP Majlis Guru Besar Daerah ( 1995 – 1998 ) dan juga merupakan Esco Tertinggi Majlis Guru Besar Negeri Sabah ( 1996 – 1998 ) . Dalam hubungan kemasyarakatan , saya juga bergiat dalam pertubuhan persatuan suku kaum. Semenjak tahun 2005 hingga kini saya adalah setiausaha agong Persatuan Sama Sabah ( PSS )

Sesungguhnya pengalaman pahit dan manis sepanjang saya bertugas akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidup saya sebagai pendidik. Kini, pendidikan telah banyak melalui perubahan sejajar dengan perkembangan teknologi. Jika dulu murid hanya kenal pencil dan buku kini era teknologi maklumat mengubah keadaan. Pendidik hari ini perlu menambah ilmu agar tidak dipandang rendah kebolehannya oleh anak didiknya sendiri

No comments:

Post a Comment