2010-08-08

Bersuara Bukan Bererti Menentang

SUDUT SETEMU-TEMU ,07 OGOS 2010




Baru-baru ini saya terbaca di dalam sebuah suratkhabar berbahasa Melayu, seorang pemimpin melahirkan rasa kecewa, sedih dan malu kerana ada penulis-penulis fb dan blog menaburkan fitnah yang tidak sahih sehingga memesongkan fikiran rakyat terutamanya belia.
Mungkin ada kebenarannya cakap pemimpin tersebut. Tapi, awal-awal lagi saya telah menyatakan ‘ sistem penyampaian ‘ terutamanya di Kota Belud perlu diurus dengan berkesan. Jika sistem penyampaian tersangkut maka fahaman rakyat terhadap rancangan kerajaan juga tersangkut.
Agen-agen yang dilantik atau dipilih oleh rakyat, pemimpin atau kerajaan haruslah mereka yang amanah, bertanggungjawab, berintegriti dan berkebolehan. Pilihan atau lantikan berdasarkan kroni, nipotisme, rakan karib atau kerana ‘termakan budi’ menyebabkan sistem akan pincang. Jesteru itu, segala hasrat dan cita-cita kerajaan akan terbantut dan sia-sia.
Rakyat yang ingin tahu atau menegur bukan bererti mereka menentang pembangunan, tetapi inginkan penjelasan. Adalah kurang bijak pemimpin mencop rakyat yang bersuara menghina atau memalukan pemimpin. Sebagai contoh rakyat ingin tahu Projek Empangan Kedamaian, Jelapang Padi, Agropolitan Pintasan, Jalanraya KK-Kudat Bypass, Jalan Sangkir, Taburan dan Tambulion, Saluran Air Paip Rampaian Laut, Eletrik yang sering ‘blackout’ dan keperluan-keperluan asas rakyat yang seumpamanya. Mengapa ditentang ? Rakyat cuma ingin tahu. Pemimpin harus perjelaskan. Apa salahnya ? Rakyat gunakan pertemuan biasa, tetapi tidak berkesempatan terutama “pemimpin terlalu sibuk” . Gunakan telefon atau SMS , pemimpin tidak repon. Ditulis dalam fb atau blog pemimpin juga tidak respon tetapi direspon semasa majlis bersama rakyat. Dalam majlis berkenaan pula hanya pemimpin yang bercakap, mohon tepuk tangan, selepas itu jamuan dan pemimpin beredar atau balik. Komunikasi sehala ini membuatkan pemimpin syok sendiri dan sememangnya kurang berkesan. Kalau perlu adakan dialog, seminar, persidangan meja bulat atau edaran risalah agar rakyat faham akan setiap projek kerajaan. Pengamalan slogan amanah, bersih, dan cekap perlu diteruskan didalam menjayakan matlamat slogan 1 Malaysia ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.
Jangan wujudkan jurang antara pemimpin dan rakyat. Jika ada majlis jamuan, biar pemimpin memakan makanan yang sama seperti rakyat makan. Jangan asingkan pemimpin duduk di meja khas sementara rakyat duduk dibangku. Jika tangkap ikan bersama, jangan pemimpin mengambil kepala dan rakyat diberi ekor. Biar sama-sama rasa seperti pepatah berat sama dipikul, ringgan sama dijinjing ; ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni ; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah.

No comments:

Post a Comment